Datuk Dr Nor Azimi Yunus memegang durian diproses untuk pasaran luar negara.

KUANTAN – Sehingga Mei 2023 – sebanyak 140 sijil kesihatan telah dikeluarkan Jabatan Kesihatan Daerah (JKD) empat daerah di Pahang bagi tujuan pengeksportan durian sejuk beku ke luar negara.

Menurut Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus, jumlah itu bertambah berbanding tahun lalu.

“Bagi tahun 2022, 131 sijil kesihatan dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah bagi pengeksportan durian sejuk beku ke Negara China, USA, Arab Saudi, Taiwan, Kanada, Indonesia, Australia, Hong Kong, Peru dan New Zealand,” katanya.

Kesemua sijil kesihatan tersebut dikeluarkan kepada 22 premis pemprosesan durian sejuk beku yang beroperasi di Raub, Bentong, Jerantut dan Temerloh.

“Kesemua premis pemprosesan ini mempunyai pensijilan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP), Good Manufacturing Practies (GMP) dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI),” katanya dalam kenyataan selepas lawatan ke premis pengeksportan durian sejuk beku di Greenway Concept Sdn Bhd, Raub hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, antara produk yang dihasilkan antaranya produk durian sejuk beku yang terdiri daripada durian pulp, durian paste & durian whole fruit.

“Penghasilan produk durian sejuk beku ini memerlukan proses penyejukan sehingga suhu -30⁰C bagi produk durian pulp dan durian paste dan suhu antara -80⁰C hingga -110⁰C bagi produk durian whole fruit bagi memastikan kualiti dan keselamatan produk yang dihasilkan,” tambahnya.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) berperanan menjalankan pemantauan ke atas premis pengeksportan berkenaan melalui audit yang dijalankan sekurang- kurangnya sekali setahun dan menjalankan pensampelan produk bagi parameter mikrobiologi dan kimia untuk memastikan keperluan negara pengimport dipatuhi.

“Semua premis pengeksportan perlu memastikan kawalan proses, kawalan operasi, kawalan infrastuktur, kawalan sanitasi dan penyelenggaraan premis mematuhi standard yang ditetapkan di bawah pensijilan HACCP, GMP atau MeSTI dan keperluan negara pengimport.

“Di samping itu, premis juga perlu mematuhi keperluan perundangan negara di bawah Akta Makanan 1983, Peraturan- Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan Peraturan- Peraturan Makanan 1985,” kata Dr Nor Azimi lagi.

Disebabkan itu, katanya, pemantauan ke atas premis pemprosesan makanan sentiasa dilakukan agar mematuhi keperluan negara pengimport dan perundangan dalam negara. – MalaysiaGazette