PMX dalam program Temu Anwar dengan pelajar di USIM baru-baru ini dikatakan telah bergurau dengan meminta nombor telefon daripada pelajar perempuan. Guruannya itu menimbulkan kecaman musuh politiknya.

BILA Bawah Kolong (BK) secara bergurau menyindir kesungguhan ‘musuh-musuh’ Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendesak PMX ini mohon maaf kerana ‘minta’ nombor telefon seorang budak perempuan, ramai yang marah.

Dalam sindiran itu, BK nyatakan ada seorang pemimpin, suatu ketika dulu pernah juga minta (bukan bergurau ya) nombor telefon budak perempuan tapi tak dijadikan isu pun.

Dalam marah-marah itu, mereka tanya kepada BK, siapakah gerangan orang yang dimaksudkan itu? BK kata, orang itu miliki sebutan nama yang sama dengan PMX, cuma ejaannya sedikit berbeza.

Orang itu, kata BK, di zaman dewasa dan kegemilangannya, bukan setakat minta nombor telefon budak perempuan malah teman wanita kawan dia, isteri orang pun dia nak tackle apatah lagi janda. Memang mainan dialah perempuan-perempuan ni.

Apa pun, itu cerita zaman dulu, zaman nakal-nakal dia. Tiap orang yang berada di alam dewasa semuanya akan laluan ujian itu. Cuma, mujurnya pemimpin ini tidak bawa perangai nakal tu apabila dah masuk alam warga emas.

Okey, berbalik kepada tindakan PMX minta nombor telefon budak perempuan yang juga pelajar pada program dihadirinya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai baru-baru ini.

Pada BK, itu hanya sekadar gurauan seorang bapa dengan anak dan gurauan seorang tua kepada seorang anak muda. Cara gurauan itu pun bukan hadir dengan nafsu terhadap budak belasan tahun.

PMX pun sedar diri dia siapa nak mengorat budak-budak hingusan dan dia bergurau pun di depan khalayak, depan barisan pengurusan USIM, depan pimpinan parti dan NGO serta depan ribuan pelajar lain.

Bukan dia minta nombor telefon tu secara berbisik atau secara pertemuan sulit pun. Dia hanya berjenaka untuk ceriakan suasana ketika tu. Itu pun nak dijadikan isu?

Tapi tak mustahil benda kecil jadi besar sebab dalam kes ini, yang lantang menegur PMX ialah musuh politiknya.

Biasalah, musuh politik. Benda sebesar busut boleh direka jadi sebesar gunung Kilimanjaro. Mereka hari-hari intai, perhati dan mahu dengar yang buruk-buruk sahaja pasal PMX.

Macam harimau nak terkam mangsa, duduk menyorok di balik semak atau pokok, bila keadaan mengizinkan terus terkam.

Begitulah sifat musuh. Yang buruk itulah yang dicari dan ditunggu-tunggu sebab boleh dicanang jadi besar dan hangat di pasaran. Ini memang kerja musuh yang profesional.

Lebih lagi dalam kekeringan modal untuk kempen pilihan raya negeri, gurauan seperti ini yang dinanti-nantikan.

Adanya modal ini, boleh dibawa naik ke pentas untuk berbohong di khalayak, di depan orang-orang yang dahagakan fitnah.

Sungguh pun begitu, BK nak juga nasihatkan kepada PMX, bila sudah pegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan negara amnya, kelakuan nakal-nakal tu kenalah hentikan.

Kena berhati-hatilah dalam mengeluarkan tutur kata atau ucapan, lebih lagi gurauan.

Kalau masa pembangkang dulu bolehlah nak buat joke atau jenaka, sebab tak ada siapa kisah. Kalau ada tersalah kata pun, ia habis di situ sahaja, tidak dipanjang-panjangkan.

Sekarang dia sudah jadi PM. Setiap tingkah lakunya boleh dijadikan isu oleh musuh politiknya.

Dan satu lagi, setiap PM ada sekumpulan penasihat atau pegawai lantikan yang diberi gaji lumayan, takkan tak seorang dari puluhan mereka tak boleh beri nasihat.

Imej dan maruah seorang PM kena jaga sepanjang masa, baik di dalam mahu pun di luar supaya dihormati kawan dan lawan.

Benarlah kata seorang sahabat BK, “Lagi tinggi jawatan memang kelakuan kena lebih berhati-hati. Kalau tidak, apa perlunya dilantik pegawai-pegawai yang ramai dan bergaji lebat kalau bukan untuk memastikan boss mereka sentiasa dalam keadaan terkawal dan tidak melakukan joke bodoh”.

BK kata ini sebab BK dulu pun pernah jadi pegawai kepada seorang timbalan menteri. Bos BK seorang wanita yang dikenali imej ustazah.

Bila bos BK lantik seorang penasihat imej, tiba-tiba imejnya dari seorang ustazaz bertukar kepada imej seorang wanita sosial.

Ini menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati BK. Lalu BK masuk jumpa bos BK senyap-senyap dan lontarkan beberapa nasihat.

Walaupun pahit dan pedih, walaupun kena marah seketika akhirnya bos BK dengar sebab nasihat itu demi untuk imej dan maruahnya.

Alhamdulillah, dia kembali kepada imej asalnya yang azali. Cuma sempatlah dia merasai perubahan itu untuk seketika.

Tak apalah BK maafkan, sebab setiap manusia walau alim dan warak mana sekali pun,tak terlepas dari godaan syaitan.

Tengok saja pak-pak lebai dalam sebuah parti yang mendakwa membangun bersama Islam, imej mereka ialah berjubah dan berserban.

Sebagai manusia, mereka ada kelemahan juga. Dalam berpakaian sunnah, mereka nak juga merasakan bersosial dengan memakai kemeja, kot, berseluar dan bertali leher.

Tapi tak ada isu pun nak dibangkitkan oleh mereka yang lantang menegur gurauan PMX. Sebab, yang menegur pun bukan seorang yang maksum. Mereka juga tidak terlepas dari kejahilan dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast