KUALA LUMPUR – Isu kompaun yang dikenakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) terhadap seorang pekerja wanita bukan Islam di sebuah premis menjual pakaian di Kota Bharu kelmarin atas kesalahan berpakaian tidak sopan telah selesai.
Ahli perniagaan, Sunny See Yeap Seng berkata, dia telah membayar kompaun tersebut dan tidak mahu isu tersebut dipolitikkan.
“Isu sensasi selesai dengan aman. Sebab tak mahu isu ini dijadikan isu politik,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Isu tersebut menjadi tular dan mengundang pelbagai reaksi oleh netizen setelah dikongsi oleh Sunny dalam laman Facebook miliknya, Ahad lalu.
Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin dalam kenyataan media semalam mempertahankan tindakan kompaun itu, selaras dengan Seksyen 34(2)(b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019.
Walau bagaimanapun, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming hari ini dilaporkan meminta MPKB-BRI menarik balik kompaun yang dikenakan terhadap wanita berkenaan.
Beliau menyifatkan tindakan kompaun itu melanggar hak kebebasan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dan wanita itu juga bukan orang Islam.
Selain itu, Ketua Wanita MCA, Wong You F MCA meminta MPKB-BRI memperjelaskan definisi pakaian sopan seperti yang dikuatkuasakannya.
Katanya, mungkin masih ramai yang tidak memahami maksud pakaian sopan seperti yang dinyatakan dalam undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan itu. – MalaysiaGazette