PUTRAJAYA – Kerajaan Perpaduan mencadangkan untuk mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) supaya mempunyai tahap sama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, langkah berkenaan diambil bagi memastikan pelajar-pelajar yang gagal dalam SPM boleh ditawarkan tempat dalam bidang kemahiran.
“Kami akan menawarkan tempat-tempat untuk mereka yang tidak mengambil SPM atau pun gagal untuk menyertai TVET. Oleh kerana kita mempunyai sijil-sijil iaitu SKM Tahap 1 hingga 4, kertas dasar akan dibawa ke Kabinet untuk menentukan sijil-sijil ini akan turut diiktiraf sebagai sijil yang sama taraf atau pun lebih tinggi daripada sijil SPM.
“Akhirnya mereka akan dapat masuk ke pasaran sama ada swasta atau kerajaan berdasarkan sijil-sijil yang akan dikeluarkan itu,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan portal TVET Madani dan pertukaran memorandum kerjasama di Putrajaya, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media tentang 30,000 pelajar direkodkan tidak menduduki peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.
Jelas Ahmad Zahid lagi, cadangan itu bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing.
“Tiba masanya untuk gunakan tenaga tempatan, berikan latihan sewajarnya mengikut kehendak pasaran yang ada dan minat peserta itu apabila mereka menjadi lepasan TVET dan pekerjaan menunggu mereka.
“Ia bukan sahaja mengurangkan pengangguran tetapi kita akan dapat merapatkan jurang penganguran tidak ketara dan juga masalah mismatch (ketidaksepadanan) bidang pekerjaan dan kursus yang mereka ikuti,” katanya lagi.
Ahmad Zahid berkata, usul itu akan dibawa kepada Kabinet dua minggu lagi.
Dalam pada itu, tambahnya, cadangan tersebut merupakan salah satu perubahan besar yang disarankan oleh kerajaan.
“Saya fikir ia turut melibatkan dasar pendidikan negara dan juga dasar pendidikan pengajian tinggi dan kami lakukan penyelarasan kepada bidang-bidang tertentu.
“Kita tidak lagi berfikir secara silo tetapi melakukan koordinasi sebaik-baiknya dengan 12 kementerian, GLC, swasta supaya tidak ada yang tertinggal dalam merebut peluang pekerjaan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette