KUANTAN – Ahli-ahli politik negara ini sepatutnya menggunakan parti untuk mempertahankan agama dan bangsa bukan menyalahgunakannya demi parti masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohd Fakharuddin Arif kecewa apabila agama Islam kini digunakan untuk politik oleh sesetengah pihak hingga berani menghalalkan apa yang ditegah demi untuk mencapai cita-cita politik.
Semua pemimpin parti perlu bertanggungjawab dalam mencorakkan pemikiran rakyat supaya mereka tidak keliru dengan kenyataan diberi semata-mata untuk meraih cita-cita politik masing-masing.
Beliau kesal kerana perkara yang dilarang Islam seperti mengeluarkan kenyataan jelik, mengadu-domba dan fitnah tanpa mengira kesan dan akibat sudah menjadi norma biasa pada segelintir pemimpin.
“Haram tetap haram, mana boleh menghalalkan sesuatu yang haram, mana boleh halalkan fitnah. Sebagai pemimpin Islam, kita perlu berjaga-jaga dalam membuat kenyataan kerana setiap butir perkataan yang dibuat adalah cerminan orang Islam, bercakap biarlah benda yang elok bukan cacian atau menabur fitnah.
“Dakyah yang tak elok oleh pemimpin hanya akan membawa keburukan kepada masa depan negara. Kesanya kepada rakyat termasuk pengudi muda terutamanya akan membuat pilihan yang salah,,” kata Fakharuddin kepada MalaysiaGazette.
Tambah beliau, seorang pemimpin yang hebat tidak akan menggunakan agama demi kepentingan diri sendiri dan parti semata-mata.
Beliau berkata, pemimpin yang terbaik adalah mereka yang mahu memimpin rakyat dan penyokongnya ke arah kebaikan supaya dapat bersama-sama membangunkan negara ini.
“Itu ciri pemimpin terbaik bukan menghalalkan apa yang ditegah agama, bukan melanggar hukum agama,” ujarnya sambil menegaskan UMNO sejak dulu sentiasa menjaga dan mempertahankan agama dan bangsa.
Bahkan UMNO sama sekali tidak pernah menggunakan agama untuk menguatkankan parti.
”Saya tidak bersetuju dengan mana-mana pemimpin berkata kita boleh fitnah untuk kita menang dalam pilihan raya. Pandangan mereka ini akan mengelirukan rakyat sekali gus tidak membawa apa-apa kebaikan kepada negara jika menang sekali pun. – MalaysiaGazette