Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memandang serius terhadap jangkaan kenaikan harga ubat-ubatan sebanyak lima peratus  akibat kejatuhan nilai ringgti baru-baru ini.

Presiden  Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk Dr. Dominic Lau berkata, kejatuhan ringgit telah  memberi kesan kepada pelbagai harga barangan import termasuk ubat-ubatan.

Kenaikan ini dikhuatiri akan meningkatkan kos operasi perubatan di seluruh fasiliti kesihatan dalam negara.

“Jika harga meningkat, rakyat akan menanggung kos perubatan yang mahal, terutama  pesakit yang memerlukan rawatan jangka masa panjang.

“Ubat-ubatan adalah keperluan penting. Kerajaan perlu mengutamakan kesihatan rakyat dan mengambil tindakan bagi memastikan kestabilan terjamin”

“Jika harga mahal, kos operasi bagi institusi perubatan akan meningkat, dan doktor juga akan terkesan. Ini juga akan mengurangkan kualiti rawatan perubatan serta menghalang pesakit untuk menerima rawatan tepat pada masanya,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang  bahawa harga ubat dijangka akan naik.

Semalam Dominic dalam Dewan Negara membahaskan laporan Kertas Putih Kesihatan.

Katanya, rakyat terpaksa membayar kos yang lebih pada ubat-ubatan dan juga caj perkhidmatan. Ia amat berbeza jika dibandingkan sebelum pandemik Covid-19.

Kos perbelanjaan meningkat daripada RM22.39 billion pada 2019 kepada RM 24.6 bilion pada tahun 2021.

Ujarnya, ia menunjukkan rakyat berbelanja lebih untuk kos perubatan sahaja.

“Bagi menyelesaikan masalah ini, kerajaan perlu memperkukuhkan kawalan untuk ketelusan harga ubat.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga boleh mempertimbangkan kenaikan subsidi, mengurangkan kadar cukai, ataupun tidak mengenakan cukai ubat-ubatan yang diimport dari negara luar bagi mengurangkan beban rakyat dan institusi perubatan,” tambah beliau.-MalaysiaGazette