KUALA LUMPUR – Keputusan tawaran bagi kemasukan ke Tingkatan Enam tahun 2023 bagi pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia akan diumumkan pada 3 Julai 2023.
Murid lepasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 boleh membuat semakan keputusan tawaran dan pendaftaran kemasukan ke Tingkatan Enam tahun 2023 melalui kaedah berikut:
i. secara dalam talian menerusi aplikasi dalam talian Tingkatan Enam melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/ atau
ii. murid lepasan peperiksaan SPM tahun 2022 yang tidak mempunyai capaian internet boleh menyemak keputusan tawaran melalui sekolah asal masing-masing.
Kementerian Pendidikan berkata, murid lepasan peperiksaan SPM tahun 2022 yang tidak menerima tawaran ke Tingkatan Enam boleh mengemukakan permohonan rayuan
secara dalam talian melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/ mulai 3 hingga 17 Julai 2023.
Bagi murid yang tidak mempunyai capaian internet pula, rayuan boleh dibuat melalui sekolah masing-masing.
Tambahnya, keputusan permohonan rayuan kemasukan ke Tingkatan Enam Semester 1 Tahun 2023 akan dimaklumkan pada 24 Julai 2023 melalui portal yang sama.
Bagi murid yang tidak mempunyai capaian internet, keputusan permohonan rayuan akan dimaklumkan oleh pihak sekolah pada tarikh yang sama.
Murid yang ditawarkan ke Tingkatan Enam perlu melapor diri pada 16 Julai 2023 bagi sekolah-sekolah dalam negeri kumpulan A dan 17 Julai 2023 bagi sekolah-sekolah dalam negeri kumpulan B di Kolej atau Pusat Tingkatan Enam yang dinyatakan dalam surat tawaran.
Bagi ambilan rayuan, tarikh lapor diri adalah pada 25 Julai 2023. – MalaysiaGazette