SEBERANG PERAI – Sebanyak 14 ekor lembu yang dalam perjalanan untuk dihantar ke beberapa lokasi bagi ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha esok dirampas Veterinar Pulau Pinang.
MalaysiaGazette difahamkan, rampasan itu dibuat semalam dalam satu operasi pada jam 10.40 pagi di sekitar Nibong Tebal.
Sumber berkata, kesemua 14 ekor lembu jantan itu dirampas susulan tiada permit pemindahan bertulis daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang.
Jelasnya, keadaan itu boleh menimbulkan keraguan mengenai status ternakan terbabit termasuk masalah kesihatan.
“Hasil siasatan awal mendapati kesemua lembu itu akan dihantar ke lokasi penyembelihan sekitar surau dan masjid untuk sambutan Aidiladha di kawasan tertentu membabitkan beberapa negeri.
“Semakan juga mendapati ternakan itu dibawa masuk dari beberapa negeri. Jadi kita sita ternakan serta kenderaan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
“Jumlah rampasan ternakan RM49,000 manakala lori pula bernilai RM110,000. Secara keseluruhan rampasan berjumlah RM159,000,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Tambah sumber, operasi pemeriksaan membawa ternakan dilakukan sejak sebulan lalu bagi memastikan haiwan korban telah menjalani pemeriksaan veterina dan berada dalam keadaan sihat tanpa sebarang penyakit berisiko. – MalaysiaGazette