SEREMBAN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang ke-14 akan dibubarkan pada 1 Julai ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembubaran itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, ketika beliau menghadap baginda di Istana Hinggap di sini, hari ini.
Menurut beliau, ia adalah selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Ceraian (2) Fasal 56, bahagian Yang Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Saya mohon pihak pejabat Yang Berhormat Speaker DUN Negeri Sembilan dapat menyegerakan pemakluman rasmi tarikh pembubaran DUN ke-14 ini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memberi ruang PRN diadakan serentak dengan lima negeri lain.
“Sementara itu, pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan akan berfungsi sebagai kerajaan interim atau caretaker di mana segala fungsi kerajaan negeri akan terus beroperasi seperti biasa bagi memastikan sistem perkhidmatan kerajaan kekal efisien,” katanya dalam sidang media di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Sementara itu, mengimbau kembali pencapaian sepanjang sepenggal pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan di bawah Pakatan Harapan (PH), Aminuddin memberitahu, secara keseluruhan, kira-kira 97 peratus daripada janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) telah ditunaikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu menambah, baki tiga peratus iaitu tambahan cuti bersalin belum dapat dilaksanakan kerana ia melibatkan keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam dan kerajaan Persekutuan.
“Tempoh lima tahun itu kita telah gunakan untuk pembangunan negeri dan membantu masyarakat dilaksanakan secara bersungguh-sungguh untuk memastikan apa yang kita katakan dapat dikotakan,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, hasil negeri terus meningkat di mana pada 2019 mencatatkan rekod RM556 juta dan RM521 juta pada 2022.
“Ini menunjukkan bahawa kita mampu melakukan yang terbaik dalam tempoh lima tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin memaklumkan, kerajaan Negeri Sembilan tidak memberi cuti tambahan sempena Hari Raya Aidiladha pada Jumaat ini.
“Kita teruskan kerana ia adalah hari terakhir sebelum DUN dibubarkan,” jelasnya. – MalaysiaGazette