KUALA LUMPUR – Indeks nilai seunit eksport dan import susut 0.2 peratus pada Mei 2023, dengan eksport jatuh daripada 141.9 mata pada bulan sebelumnya kepada 141.7 mata manakala import jatuh daripada 128.2 mata kepada 127.9 mata.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, indeks nilai seunit eksport jatuh 0.2 peratus pada Mei 2023 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-1.9%), minyak galian (-0.1%) dan pelbagai barang keluaran kilang (-0.1%).
Dalam pada itu, indeks volum eksport meningkat 13.9 peratus pada bulan yang sama, selaras dengan kenaikan indeks minyak galian (+29.5%), pelbagai barang keluaran kilang (+25.2%) dan alat jentera &
kelengkapan pengangkutan (+8.0%). Indeks volum eksport pelarasan bermusim berkembang 24.9 peratus daripada 136.3 mata kepada 170.3 mata.
Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit jatuh 4.7 peratus manakala indeks volum eksport meningkat 4.2 peratus.
Indeks nilai seunit import turut merosot pada Mei 2023 dengan 0.2 peratus, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-4.5%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-1.8%) dan bahan kimia (-0.2%).
Manakala, indeks volum import meningkat 12.8 peratus pada Mei 2023 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh peningkatan indeks minyak galian (+24.4%), bahan kimia (+19.1%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+6.7%).
Indeks volum import pelarasan bermusim turut meningkat 18.8 peratus daripada 157.6 mata kepada 187.2 mata.
Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import susut 3.5 peratus manakala indeks volum meningkat 0.4 peratus.
Terma perdagangan Malaysia meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 110.8 mata pada Mei 2023, didorong oleh kenaikan indeks minyak galian (+4.7%), barang-barang keluaran kilang (+0.9%) dan
bahan mentah tidak boleh dimakan (+0.8%).
Katanya, terma perdagangan Malaysia jatuh 1.2 peratus tahun ke tahun daripada 112.1 mata pada Mei tahun lalu. – MalaysiaGazette