Chan Foong Hin melakukan pemeriksaan harga beras tempatan di sebuah pasar raya di Kajang

SEMENYIH – Rakyat tidak perlu panik dengan desas-desus yang mendakwa harga beras putih tempatan atau Super Spesial Tempatan (SST) dijangka meningkat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin menegaskan, harga kawalan maksima beras putih tempatan di peringkat pengguna masih pada RM2.60/kilogram.

Menurut beliau, pihaknya juga mengambil pendekatan intervensi sementara dengan membuat penetapan harga kawalan maksimum jualan beras putih tempatan di peringkat kilang dan pemborong.

“Penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras (PKB) komited melakukan pemeriksaan demi memastikan harga bagi beras putih tempatan dikawal mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

“Sebelum ini kita cuma ada harga kawalan RM2.60 di peringkat peruncit, tetapi sejak dua minggu lalu, kita adakan juga harga kawalan di dua peringkat berkenaan iaitu kilang pada RM2,250 per metrik tan dan pemborong pada RM2,540 per metrik tan.

“Ia bagi memastikan kilang pembekal dan pemborong tidak bersaing untuk mendapatkan bahan mentah dengan menawarkan harga yang lebih tinggi, syarat ini juga bagi memastikan rantaian di peringkat pemborong, peruncit dan pengguna tidak terkesan selain menetapkan harga berpatutan,” katanya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin bercakap pada sidang media selepas mengadakan Operasi Beras Putih (Op BP) di Semenyih, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan Operasi Berasi Putih (Op BP) bersama Ketua Pengarah PKB, Datuk Azman Mahmood di Mydin Wholesale Hypermarket Semenyih, di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai kenaikan harga beras putih import, Chan berkata ia tidak dikawal kerajaan malah mengikut harga pasaran semasa peringkat antarabangsa.

“Berdasarkan pemantauan yang dijalankan, harga pasaran beras putih import ditawarkan di peringkat runcit adalah RM28 ke RM32 bagi setiap kampit beras 10 kilogram.

“Harga runcit yang disyorkan juga tercetak atas pek beras import, dan harga yang ditetapkan selalunya lebih tinggi daripada harga jualan di pasaraya,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap tiada pihak mencetuskan polemik baharu dengan memainkan isu kenaikan harga makanan ruji berkenaan.

Sementara itu, Azman menegaskan, jika peniaga didapati menaikkan harga beras putih tempatan lebih daripada yang ditetapkan (RM26), tindakan boleh dikenakan mengikut Akta 552 di mahkamah serta ditarik lesen.

“Jika berlaku sedemikian, laporkan kepada KPB di seluruh negara dan kita akan ambil tindakan segera,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast