KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM223.8 bilion pada Mei 2023 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM119.6 bilion dan RM104.2 bilion.
Lebihan dagangan Malaysia meningkat 21.4 peratus tahun ke tahun kepada RM15.4 bilion pada Mei 2023.
Sembilan negeri mencatatkan lebihan dagangan iaitu Pulau Pinang, Sarawak, Johor, Sabah, Labuan, Kelantan, Kedah, Pahang dan Terengganu
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), eksport bernilai RM119.6 bilion pada Mei 2023, menurun sebanyak RM884.4 juta (-0.7%) berbanding bulan yang sama tahun
sebelumnya.
Penurunan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (-RM2.4 bilion), Sabah (-RM1.1 bilion), Sarawak (-RM942.2 juta), Pahang (-RM742.7 juta), Labuan (-RM594.2 juta), Terengganu (-RM394.3 juta), Perak (-RM156.3 juta) dan Johor (-RM71.0 juta).
Walau bagaimanapun, nilai eksport meningkat di Selangor sebanyak RM2.0 bilion, Kuala Lumpur (+RM1.3 bilion), Kedah (+RM1.0 bilion), Negeri Sembilan (+RM423.4 juta), Melaka (+RM324.1 juta), Kelantan (+RM273.0 juta) dan Perlis (+RM3.5 juta).
Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 29.0 peratus, diikuti oleh Johor (21.1%), Selangor (18.5%), Sarawak (8.1%) dan Kuala Lumpur (5.8%).
Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, DOSM memaklumkan import pada bulan Mei 2023 juga menurun RM3.6 bilion (-3.3%) berbanding bulan yang sama pada 2022 disebabkan oleh import yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (-RM7.9 bilion), Kedah (-RM1.2 bilion), Kuala Lumpur (-RM1.2 bilion), Perak (-RM325.3 juta), Labuan (-RM190.1 juta) dan Pahang (-RM21.2 juta).
Namun sembilan negeri mencatatkan peningkatan import iaitu Selangor (+RM3.3 billion), Johor (+RM1.4 bilion), Melaka (+RM1.2 bilion), Sarawak (+RM733.3 juta), Terengganu (+RM290.5 juta), Negeri Sembilan (+RM143.2 juta), Sabah (+RM119.7 juta), Perlis (+RM37.9 juta) dan Kelantan (+RM7.9 juta).
Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan 28.1 peratus, diikuti oleh Johor (22.2%), Pulau Pinang (19.7%), W.P. Kuala Lumpur (6.7%) dan Kedah (4.8%). – MalaysiaGazette