KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) kini berada di kedudukan ke-65 dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2024, naik lima anak tangga berbanding tahun lalu.

UM berada di kedudukan 5% teratas daripada 1,503 institusi yang disenaraikan QS dan kekal sebagai universiti terbaik dari 28 universiti Malaysia yang tersenarai, serta ketiga di Asia Tenggara.

Pengiktirafan akademik dan majikan menyumbang kepada peningkatan prestasi UM dengan Reputasi Akademik naik 2 tempat di kedudukan ke-68 dan Reputasi Majikan naik 1 tempat di kedudukan ke-34 melalui petunjuk reputasi QS.

Kedudukan ini menonjolkan reputasi UM yang cemerlang dalam kalangan akademik dan majikan dunia.

Malah UM adalah universiti terbaik di Malaysia dalam reputasi akademik dan majikan, hasil pekerjaan, rangkaian penyelidikan antarabangsa dan kelestarian.

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, UM mencatat peningkatan besar dalam Fakulti Antarabangsa, Pelajar Antarabangsa, dan
Nisbah Pelajar Fakulti.

Walau bagaimanapun, masih banyak ruang untuk penambahbaikan dan beliau yakin UM berupaya untuk menangani sebarang kekurangan.

“Walaupun mengalami penurunan ranking dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah berjaya bangkit semula dan UM sedang berusaha untuk meningkatkan impak
penerbitan penyelidikan dan telah mengenal pasti faktor-faktor yang memerlukan perhatian segera.

“Kami memberi tumpuan untuk menggandakan produktiviti penyelidikan dengan penyediaan lebih banyak geran. Usaha untuk mengekalkan dan menaik taraf kemudahan kampus sedang giat dijalankan, serta jaminan pekerjaan yang baik untuk felo dan penyelidik pasca-doktoral, yang akan menyumbang kepada penyelidikan berimpak tinggi,” tambah beliau. – MalaysiaGazette