Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melambaikan tangan kepada media selepas menunaikan solat sunat AidilAdha di Masjid Putra, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM 29 JUN 2023.

PUTRAJAYA – Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Masjid Putra pagi ini mencuri tumpuan jemaah yang tidak melepaskan peluang untuk merakam gambar dan video bersama pemimpin itu.

Hubungan baik Perdana Menteri dengan pemimpin dari negara Timur Tengah menjadikan Anwar sangat disenangi masyarakat itu di negara ini.

Tidak hairanlah apabila beliau diserbu jemaah warga asing ketika mahu beredar dari Masjid Putra sebaik sahaja selesai menunaikan solat sunat Aidiladha.

Tinjauan MalaysiaGazette di pintu utama Masjid Putra mendapati, orang ramai berasak-asak untuk bergambar hingga memaksa Perdana Menteri sendiri meredakan keadaan.

“Selamat semua, sabar semua, semangat pengorbanan semua Insya-Allah.

“Selamat saudara,” kata Anwar secara ringkas kepada media  ketika mahu beredar dari Masjid Putra, di sini, pagi tadi.

Terdahulu Perdana Menteri menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 10,000 jemaah termasuk rakyat tempatan dan asing di Masjid Putra.

Perdana Menteri yang diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Masjid Putra kira-kira jam 8.20 pagi tadi.

Perdana Menteri dan isteri masing-masing mengenakan pakaian lengkap Baju Melayu dan Baju Kurung berwarna hijau muda sedondon.

Turut sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. – MalaysiaGazette