Manan Ramli, 59 menunjukkan kayu balak yang dihanyutkan kepala air pada 2020 yang berkemungkinan berpunca dari penanaman durian Musang King di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Rimba Teloi Sik, Kedah. Foto MOHD ADZLAN 26 JUN 2023.

SIK – “Kami sudah tanggung kerugian harta benda akibat banjir yang dipercayai berpunca daripada kegiatan penanaman Musang King di Hutan Simpan Kekal (HSK) Rimba Teloi di sini, jangan sampai hilang nyawa pula”.

Demikian luah Manan Ramli, 59, antara penduduk Kampung Lubuk Tualang yang terkesan akibat banjir Julai 2020.

Menurut penoreh getah itu, kampung berkenaan tidak pernah banjir seteruk itu sehingga projek ladang hutan tersebut dilakukan.

MANAN RAMLI, Foto MOHD ADZLAN 26 JUN 2023.

“Memang kalau hujan air naik tapi bukan sama dengan kejadian banjir pada Julai 2020. Itu kira kali pertama kami dilanda banjir teruk yang mengakibatkan kerugian banyak harta benda.

“Mujur tiada nyawa terkorban kerana ada balak turut hanyut hingga ke halaman rumah saya tapi sehingga kini tiada tindakan dilakukan pihak berwajib termasuk kerajaan negeri.

“Jangan sampai ada nyawa hilang seperti di Iboi baru mereka nak bertindak,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Bagi Rafeah Yaakob, 67, pula, dia risau setiap kali hujan kerana takut kejadian banjir 2020 berulang kembali.

Jelasnya, kedudukan rumah berhampiran tebing sungai lagi menjadikan mereka enam sekeluarga termasuk cucunya yang masih bersekolah ketakutan untuk tidur malam.

Rafeah Yaakob, Foto MOHD ADZLAN 26 JUN 2023.

“Sungai di tepi rumah mak long (mak cik) dulu dalam dan apabila hujan arus bawa air dengan cepat.

”Tapi semua itu kini berubah selepas ada aktiviti yang saya tak berapa pasti balak atau durian di atas HSK Rimba Teloi. Lumpur, pasir turun ketika hujan dan sekali gus menyebabkan sungai cetek dan berlaku banjir.

“Mak cik hanya berdoa dan harap jangan disebabkan kegiatan setengah pihak di hutan simpanan kekal itu kami hilang penempatan atau nyawa,” katanya.

LAZIM HITAM, foto MOHD ADZLAN 26 JUN 2023.

Bagi Lazim Hitam, 62, pula, dia masih menaruh harapan kerajaan negeri akan bertindak membabitkan isu HSK Rimba Teloi meskipun projek itu sudah dilaksanakan hampir tiga tahun.

“Kami penduduk di sini memang bimbang dengan nasib masing-masing kerana kita tak tahu apa impak akibat projek itu pada masa depan sedangkan sekarang pun kami sudah diancam bencana banjir.

“Malah, air tadahan yang digunakan sebagai sumber utama juga kerap keruh sekali gus menganggu kehidupan harian kerana kami bergantung penuh dengan sumber air itu,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast