Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman

KUALA LUMPUR – Tentera Darat telah memulakan aktiviti berkempen secara aktif di sekolah-sekolah di seluruh negara untuk menyemai minat anak muda terhadap kerjaya tentera darat pada masa depan.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, langkah itu bertujuan untuk memastikan anak anak dari bangku sekolah lagi mendapat keterangan dan pencerahan teliti mengenai potensi kerjaya ketenteraan di negara ini.

Katanya, hasil kaji selidik yang dijalankan oleh pihaknya mendedahkan bahawa kerjaya berisiko tinggi dan keperluan disiplin ketat antara faktor utama anak muda hilang minat menyertai tentera.

“Pertama sekali kesedaran itu penting yang mana setiap daripada kita memainkan peranan memberi kesedaran kepada seluruh warga malaysia khususnya anak muda bukan sahaja dalam kalangan kaum Cina dan India tetapi juga seluruh lapisan masyarakat mengenai kerjaya ini.

“Yang penting, masing-masing perlu ada keinginan untuk menyertai kerjaya tentera ini.

“Kaji selidik yang kita buat mendapati kalangan warga Malaysia yang tak mahu menyertai tentera ini sebab kerjaya tentera ini risikonya tinggi, tapi mereka dapati gajinya tak setimpal dengan risiko yng mereka bakal hadapi.” katanya ketika pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyempurnakan Majlis Ibadah Korban Hari Raya Aidiladha di Kem Sungai Besi pagi tadi.

Menurut Mohammad, dalam perkara berkaitan warga Malaysia juga tertakluk kepada disiplin yang sangat ketat dan terkongkong apabila berada` dalam tentera.

Bagi mengekang persepsi itu katanya, tentera darat sentiasa memberi keutamaan dalam menangani perkara tersebut sambil menafikan wujud kuota bangsa-bangsa tertentu dalam tentera.

“Kita tidak mempunyai kuota bangsa tertentu dalam tentera, sebaliknya mengalu-alukan semua warga Malaysia yang layak untuk menyertai keluarga besar tentera darat yang tiada pilih kasih dalam hal tersebut,” ujarnya.

Ditanya mengenai sebarang pembaharuan dasar untuk menggalakkan generasi muda menyertai tentera beramai-ramai, Mohammad berkata, setiap negeri mempunyai briged atau formasi yang memberikan pendedahan kepada warga Malaysia tentang kerjaya tentera.

Selain itu katanya, walaupun anak muda diserap menyertai tentera dengan lain-lain pangkat dan kelulusan akademik, tetapi peluang untuk mereka melanjutkan pendidikan ke peringkat tinggi dibuka secara luas pada setiap tahun.

“Walapun ambil mereka lain-lain pangkat contohya peringkat SPM, tetapi ada juga kalangan yang memiliki diploma berpeluang tangga gajinya lebih berbanding SPM.

“Apabila mereka masuk tentera kita salurkan mereka kepada kor-kor seboleh-bolehnya mengikut bidang kepakaran yang mereka ada.

“Jika mereka berminat, anggota tentera berkenaan turut diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi iaitu Ijazah Sarjana dan falsafah kedoktoran dan sebagainya di institusi awam dan swasta dengan tawaran biasiswa kepada yang layak,’ tegasnya. – MalaysiaGazette