KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Agung Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Liang Teck Meng hari ini tampil menyatakan hasrat mahu bertanding jawatan nombor satu parti pada pemilihan tahun ini.

Ini bermakna bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam dan mantan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) itu berkemungkinan besar akan bertembung dengan penyandang kini, Datuk Dominic Lau.

Hasrat tersebut dinyatakan dalam hantaran terbaru di Facebook beliau.

”Saya ingin umum hasrat untuk bertanding jawatan Presiden Kebangsaan dalam pemilihan parti Gerakan 2023.

“Jika saya terpilih, saya yakin dengan prestasi dan pengalaman luas saya ketika menjadi Setiausaha Agung, dua penggal Ahli Parlimen dan Pengerusi SPAN akan memberikannya kelebihan mengembalikan maruah serta menghidupkan semula parti bagi keyakinan masyarakat terhadap parti ini,” katanya. 

Hantaran itu juga mendapat sokongan rata-rata penyokongn yang mengalu-alukan beliau bertanding untuk jawatan Presiden itu.

Gerakan yang satu ketikanya parti komponen Barisan Nasional (BN) bertindak keluar dari gabungan tersebut selepas kekalahan teruk pada 2018 sebelum menyertai Perikatan Nasional (PN) diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2021.

Pemilihan parti Gerakan yang  ditangguhkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) November lepas dijangka diadakan pada 17 Julai depan. -MalaysiaGazette