SIK – Projek pembangunan Ladang Hutan menanam durian Musang King di Hutan Simpan Kekal (HSK) Rimba Teloi di sini dikatakan ibarat bom jangka bagi penduduk setempat.
Ia susulan dipercayai hampir 200 hektar HSK itu dipenuhi tanaman ribuan pokok Musang along meskipun spesies tanaman itu tidak disyorkan sebagai tanaman ladang hutan.
Hasil tinjauan melalui rakaman udara MalaysiaGazette mendapati sebahagian kawasan HSK itu digondol dengan pembinaan teres bagi penanaman Musang King sekali gus menimbulkan tanda tanya dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa hutan berkenaan sudah ditanam pokok tutup bumi dalam kenyataan media pada Ogos 2022.
Selain itu, tinjauan sama juga mendapati sekurang-kurangnya kolam takungan anggaran keluasan 20,000 kaki persegi dipercayai untuk kegunaan projek tanaman tersebut di kesan di atas puncak bukit berkenaan.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Penasihat Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Mohd Sobri Ramlee mendakwa pihaknya sudah menyuarakan kebimbangan projek tersebut yang dipercayai boleh menyumbang kepada musibah besar seperti di Gunung Inas, Baling.
Jelas beliau, bagaimanapun, tiada langkah diambil pihak berwajib termasuk kerajaan negeri untuk memberhentikan projek tersebut mahupun melakukan kajian semula Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) meskipun bantahan, risiko diutarakan sehingga kini.
“Kita tahu projek itu mungkin diluluskan pemerintahan lama tetapi kejadian banjir lumpur yang menimpa penduduk berhampiran HSK Rimba Teloi sudah cukup untuk kerajaan negeri sedia ada menghentikan projek terbabit.
“Ini kerana banjir yang melanda mereka ketika itu adalah perkara baharu kepada penduduk yang sekian lama menetap di sana selain ada juga kayu balak hanyut hingga ke penempatan penduduk sebagai bukti ada aktiviti terlarang berlaku di HSK tersebut.
“Keadaan ini secara langsung membuatkan saya dan pasukan meletakkan Rimba Teloi sebagai ‘bom jangka’ seperti mana amaran yang diberikan dengan Gunung Inas setahun sebelum kejadian kepala air itu,” katanya.
Tambah Mohd Sobri, antara pertikaian lain yang timbul termasuk pokok musang king tidak tersenarai dalam 11 spesies tanaman yang dikenal pasti sebagai ladang hutan tetap dibenarkan penanaman.
“Dalam Parlimen pada Julai tahun lalu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika menjadi Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sendiri menyatakan projek penanaman musang king di Gunung Inas telah melanggar syarat penanaman ladang hutan jadi kenapa ia boleh di HSK Rimba Teloi.
“Kita juga sedia maklum bidang kuasa kerajaan negeri untuk menghentikan projek ini, jadi mengapa masih diteruskan sehingga kini?” soalnya.
Mengulas lanjut Mohd Sobri mendakwa, selain daripada risiko kepala air, penanaman Musang King itu turut dipercayai menjadi punca pencemaran air Sungai Tebal, Sungai Chepir yang digunakan penduduk sebagai sumber utama air.
“Kolam tadahan air penduduk sudah diubah tiga kali susulan akitviti terlarang yang menyebabkan air tadahan keruh sekali gus menyebabkan penduduk terpaksa mengambil air dari kawasan tadahan lebih tinggi.
“Kalau kita lihat air sungai ini keruh walaupun sekarang musim kemarau. Bukan saja itu, kawasan sungai ini dahulunya menjadi tempat penduduk berkelah dan mencari sumber makanan seperti ikan tengas dan lain-lain.
“Justeru, kita mohon kerajaan negeri ambil tindakan sewajarnya agar penduduk setempat tidak terancam akibat kegiatan sekumpulan pihak yang rakus hingga mengundang kemusnahan alam serta musibah,” katanya. – MalaysiaGazette