KUALA LUMPUR – Hasrat seorang kanak-kanak mahu membantu di kedai bapanya tidak kesampaian sebaliknya dia melalui detik cemas apabila tangannya tersepit pada mesin penguli roti.
Bagaimanapun, kanak-kanak itu bernasib baik apabila terselamat daripada mengalami sebarang kecederaan serius dalam insiden tersebut hari ini.
Kejadian berlaku di kedai roti yang diuruskan oleh bapa kanak-kanak perempuan warga tempatan itu yang terletak di Jalan Bagan Terap Sungai Besar, Selangor.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Selangor, Muhammadul Ehsan Mohd. Zain berkata, bilik gerakan operasi negeri telah menerima panggilan kecemasan pada jam 3.05 petang tadi mengenai insiden tersebut.
Katanya, bertindak atas panggilan itu anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar bergegas ke lokasi kejadian pada jam 3.19 petang tadi.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati kejadian melibatkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang mana lengan sebelah kiri tersepit pada mesin penguli roti.
“Bomba bertindak mengeluarkan tangan mangsa dalam tempoh 10 minit menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan petang tadi.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan sebaliknya tangannya sekadar lebam.
Katanya, siasatan bomba mendapati semasa kejadian mangsa sedang membantu bapanya menguli roti dalam mesin tersebut sebelum lengannya tersepit.
“Tangan mangsa telah tersepit pada mesin itu selama 20 minit sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba,” tegasnya.-MalaysiaGazette