Prof. Dr. Raduwan (kiri) bertanyakan sesuatu kepada peserta program.

NILAI – Seramai 40 bekas penagih dadah berjaya menamatkan kursus kejurulatihan dan bakal menjadi jurulatih bertauliah bagi melatih penagih lain kembali ke pangkal jalan.

Kursus anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama MASAC dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu memberi peluang kepada mereka untuk menjadi mentor kepada penagih baharu.

Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Prof. Dr. Raduwan Idar, kursus yang disertai 40 peserta itu tamat dengan jayanya dan semua mereka kini mendapat status jurulatih bertauliah.

“Kita anggap mereka ini ada graduan, walaupun berbeza dengan graduan universiti. Mereka ini akan menanggung tugas lebih besar untuk membantu penagih baharu dan mengubah nasib mereka.

“Program atau kursus ini berkonsepkan mentor mentee. Ia memberi cahaya baharu kepada penagih yang hendak kembali ke pangkal jalan dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada jurulatih ini,” katanya pada majlis Graduasi Jurulatih Pemulihan Bertauliah 2.0 di sini.

Turut hadir, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani; Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Ketua Pusat Kecemerlangan KKM, Dr. Nurashikin Ibrahim; Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) USIM, Prof. Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin; Presiden Malaysian Substance Abuse Substance Council (MASAC), Ahmad Lutfi Abdul Latiff; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd. Rahman; dan Pengurus Jabatan Program YBR, Haziqah Hazemi.

Prof. Dr. Raduwan (tengah) bersama pengurusan MASACm USIM dan peserta Majlis Graduasi Jurulatih Pemulihan Bertauliah 2.0.

Program itu melibatkan tenaga pengajar daripada pensyarah Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) USIM.

Latihan Jurulatih Pemulihan Bertauliah bagi tahun 2023 itu diadakan dua siri dengan reka khusus kepada mereka yang sudah pulih dan hendak mendapatkan pengetahuan serta kemahiran dalam menangan ketagihan dadah.

Sementara itu, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, beliau bangga dengan program yang dianjurkan itu kerana memberi peluang kepada bekas penagih menjadi seorang jurulatih bertauliah.

Pada masa sama, katanya, ia dapat membantu menambah pendapatan mereka melalui ceramah serta khidmat nasihat yang diperlukan nanti.

“Kursus ini memberikan mereka peluang kedua, di samping mereka pula selepas ini memberi nasihat kepada penagih baharu untuk mengubah nasib hidup kepada yang lebih baik.

“Khidmat nasihat mereka ini sekurang-kurangnya dapat mengembalikan penagih yang telah terjebak dengan dadah berusaha untuk menjadi manusia berguna kepada keluarga dan masyarakat.

“Saya juga berharap lebih ramai lagi bekas penagih dapat ditauliahkan melalui program kursus ini kerana mereka lebih arif dan memahami cara untuk pulih dari ketagihan,” katanya. – MalaysiaGazette