Logo Transparency International Malaysia

KUALA LUMPUR – Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa kerajaan mempertimbangkan cadangan agar laporan tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibentangkan di Parlimen.

TI-M dalam satu kenyataan ringkas hari ini berkata, langkah itu dilihat penting untuk menangani segera masalah rasuah yang kini didakwa semakin tenat di dalam negara ini.

Pihaknya bersetuju dengan cadangan yang sama seperti dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim baru-baru ini.

Hassan yang menganggotai Jawatankuasa Khas Rasuah itu pernah meluahkan kekecewaannya terhadap amalan semasa yang mana penyerahan laporan tahunan diberi kepada dua jawatankuasa berasingan sebelum dihantar kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan di Parlimen.

Di bawah Akta SPRM 2009, Seksyen 14(1) menetapkan Jawatankuasa Khas Rasuah bertanggungjawab dalam menasihati Perdana Menteri mengenai masalah rasuah di negara ini selepas meneliti laporan tahunan suruhanjaya itu dan menjelaskan ulasan Lembaga Penasihat.

“Kita mempunyai masalah yang pincang dalam menangani isu rasuah di negara ini dan kedua-dua pihak iaitu Perdana Menteri dan kerajaan memerlukan maklumat yang tepat bagi membuat tindakan yang pantas dan efisien.

“Oleh demikian, kerajaan harus mempertimbangkan untuk menghapuskan semua birokrasi dan pada masa yang sama menjadikan SPRM benar-benar bebas dengan meminda Akta SPRM sebagai sebahagian daripada keseluruhan reformasi SPRM,” kata TI-M.- MalaysiaGazette