al-Quran Sweden
Salwan Momika memegang senaskhah al-Quran sebelum membakarnya di luar Masjid Jamek Stockholm, Sweden, semalam. - Gambar: Tangkap layar video tular dalam media sosial

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa Sweden yang memberikan kelulusan kepada tindakan provokatif membakar al-Quran di Stockholm, Sweden, Rabu lalu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu dilihat lebih kepada satu penghinaan kepada umat Islam seluruh dunia yang sedang menyambut Hari Raya Aidiladha

“Tindakan membakar kitab suci al-Quran itu melanggar prinsip universal menghormati dan memahami semua agama dan Kitab Suci mereka.

“Ini menandakan kali kedua perbuatan keji itu berlaku di Sweden tahun ini selepas kejadian pertama pada Januari 2023.

“Keputusan mahkamah Sweden yang membenarkan perbuatan keji itu diulangi bukanlah langkah progresif dalam usaha kami untuk meningkatkan rasa hormat dan persefahaman bersama demi kebaikan umat manusia,” katanya Wisma Putra dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum itu, media melaporkan seorang lelaki berasal dari Iraq bertindak membakar al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm, Sweden.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan Turkiye ketika Sweden berusaha untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Perbuatan biadab itu dilakukan oleh dua lelaki di luar masjid utama di ibu negara Sweden menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.

Wisma Putra juga menyifatkan tindakan itu seolah-olah membenarkan jenayah kebencian secara sah dan provokasi kasar untuk menyebarkan kebencian agama dan hasutan kepada keganasan.

Sehubungan itu, Malaysia Malaysia menggesa Kerajaan Sweden mengambil tindakan segera terhadap pelaku jenayah kejam ini dan mengambil langkah serius untuk memerangi segala bentuk keganasan dan kebencian terhadap Islam di negara itu.

“Malaysia amat percaya bahawa tindakan pihak berkuasa Sweden untuk membendung tindakan provokasi ini boleh membawa kesan yang tidak diingini terhadap hubungannya dengan umat Islam di seluruh dunia.

“Malaysia mengulangi gesaannya agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) mengambil tindakan drastik dalam mempromosikan penghormatan dan perlindungan penuh kitab agama di seluruh dunia serta memerangi peningkatan yang membimbangkan. Islamofobia di seluruh dunia,” katanya Wisma Putra lagi. – MalaysiaGazette