Foto Bebas News

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan terperinci berkenaan isu tular membabitkan VIP berstatus menteri Kabinet yang didakwa membuat ‘kecoh’ serta menceroboh dewan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, menteri itu dikatakan bertindak sedemikian kerana  mahu menyelamatkan seorang pelancong asing wanita warga China yang ditahan Imigresen ketika mahu memasuki negara.

“Sekiranya perkara itu benar-benar berlaku seperti yang didakwa, CUEPACS berasa amat kesal sekali dengan sikap VIP tersebut kerana ia melibatkan pelanggaran protokol keselamatan negara serta mengganggu tugas penjawat awam.

“Sebagai individu yang bertaraf menteri, adalah tidak wajar perkara tersebut dilakukan kerana semua pihak termasuk pemimpin negara sewajarnya memberi kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa yang melaksanakan tugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas tindakan menteri itu yang didakwa memarahi pegawai polis bantuan dan penguatkuasa yang bertugas di Balai Ketibaan KLIA tersebut semasa insiden itu berlaku sebelum ia tular dan menerima kecaman netizen.

Tambah beliau, adalah tidak wajar menteri itu menceroboh kerana ia jelas melanggar prosedur keselamatan atau SOP yang telah ditetapkan.

Katanya, sekiranya berlaku salah faham dalam proses penahanan pelancong terbabit, menteri terbabit boleh memberikan bantuan mengikut prosedur atau mendapatkan maklumat yang lebih jelas dahulu daripada pihak berkuasa di lapangan terbang.

“Justeru itu, CUEPACS berharap satu siasatan penuh dilakukan oleh pihak berkuasa dan kerajaan dalam memastikan tindakan sama tidak berulang pada masa akan datang.

“Siasatan terperinci dan tegas perlu kerana tiada individu yang lebih besar daripada undang-undang negara dan jika berlakunya perlanggaran undang-undang dalam hal ini, tindakan tegas wajar diambil oleh kerajaan ke atas VIP itu bagi menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang.

“Selepas ini, CUEPACS tidak mahu tugas yang dilaksanakan oleh penjawat awam bagi menjaga kedaulatan negara diganggu hanya kerana kepentingan peribadi pihak tertentu kerana setiap tindakan yang dilakukan oleh penjawat awam sudah pasti berlandaskan undang-undangs sedia ada,” tegasnya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Menteri buat kecoh di KLIA, didakwa cuba selamatkan pelancong China?

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast