Judul Sitism dipilih daripada nama Siti Nurhaliza iaitu Siti dan imbuhan `ism’ pula adalah istilah linguistik.

KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memilih tarikh hari ini untuk melancarkan album terbaharunya yang berjudul Sitism.

Album yang mengandungi lapan buah lagu itu dilancarkan secara digital terlebih dahulu sebelum kemunculan album penuh atau ‘deluxealbum’ sebanyak 12 lagu di dalam format digital dan fizikal.

Judul Sitism dipilih daripada nama Siti Nurhaliza iaitu Siti dan imbuhan`ism’ pula adalah istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju album.

Apabila nama Siti dan imbuhan`ism’ ini digabungkan, Sitism membentuk kata nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalam album solo ke-20 miliknya.

Salah seorang penerbit dan komposer di dalam album Sitism iaitu Aubrey Suwito adalah individu yang kerap menggunakan Sitism atau Siti-ism bagi menggambarkan Siti Nurhaliza kerana menurut beliau, apabila Siti menyanyi, ciri khas, gaya, kualiti dan suara yang dimiliki penyanyi itu unik serta senang dikenali bahawa itulah Siti Nurhaliza.

Menurut Siti, Sitism sangat bertepatan sebagai judul album kerana selama lebih 27 tahun bergiat di dalam industri muzik, beliau sudah menghidupkan jenama Siti Nurhaliza dengan cirinya yang tersendiri.

“Album Sitism adalah dirinya yang tersendiri seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahannya.

“Fokus saya  adalah untuk membolehkan para peminat beliau dapat mendengarkan 8 buah lagu terlebih dahulu sebelum penambahan empat buah lagu lagi akan menjadi lebih istimewa apabila dikeluarkan di dalam bentuk fizikal selain digital kelak,” katanya yang berusia 44 tahun itu.

Sitism sangat bertepatan sebagai judul album kerana selama lebih 27 tahun bergiat di
dalam industri muzik.

Baru-baru ini, tindakan berani dua individu yang memperlekehkan konsep dan judul kulit album terbaharu Sitism itu memakan diri sendiri.

Ini kerana Siti Nurhaliza menerusi laman Instastory miliknya berkongsi paparan skrin komen individu berkenaan menuduhnya mempunyai masalah mental kerana menggunakan fon kepala dalam foto kulit album itu.

Ibu kepada dua anak itu, turut meminta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memeriksa akaun berkenaan.

Sementara itu, setelah berjaya dengan single pertama Menjaga Cintamu yang dilancarkan pada 18 Mei lalu menerusi album ini, Siti mempertaruhkan lagu berentak rock balada ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Rozisangdewi yang berjudul Romansa Kita.

Lagu itu membawa tema kehebatan kisah percintaan yang berawal dengan sekadar impian namun menjadi kenyataan apabila sepasang individu menanam keyakinan untuk bersama-sama sehingga ke akhir hayat mereka.

Selain Romansa Kita (Sharon Paul/Rozisangdewi), lain-lain lagu yang terdapat di dalam album ini ialah Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw), Tanpa Diri-Mu (Luca Sickta/Luca Sickta & Siti Nurhaliza), Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozisangdewi).

Lagu lain adalah Ganti (Mingaling & Nuha Nik/ Amir Hasan & Nuha Nik), Teratas (Tomok & Rudy Nastia/Fedtri Yahya), Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara) dan Magis (Mas Dewangga & Jova Devito/ Mas Dewangga & Jova Devito & Aden King).

AlbumSitismditerbitkan olehUniversal Music Sdn Bhd dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd ini boleh didapati di pelantar digital bermula hari ini dan lbum penuh atau album `deluxe’ dijangka akan berada di pasaran pada awal Ogos nanti. – MalaysiaGazette

Menerusi album Sitism, Siti Nurhaliza muncul dengan single pertama Menjaga Cintamu yang dilancarkan pada 18 Mei lalu.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast