Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said hadir pada sidang mengenai kes Malaysia-Sulu di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 30 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Malaysia merupakan satu bentuk ‘peperangan baharu’ terhadap kedaulatan sesebuah negara.

Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azlina Othman Said berkata, dalam berhadapan peperangan berkenaan, ia memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan sokongan daripada rakyat.

Tuntutan yang dilakukan oleh waris Kesultanan Sulu dilakukan dengan perancangan yang canggih di peringkat antarabangsa, katanya.

“Kerajaan yang stabillah yang dapat menyelesaikan serangan ini. Ini serangan yang begitu canggih. Saya panggil ini sebagai satu bentuk peperangan baharu menggunakan elemen kewangan dan seperti kita tahu kerajaan Malaysia terlibat dalam pelbagai perniagaan jadi mereka akan mewujudkan kegurasan.

“Oleh itu, saya buat kesimpulan bahawa kita kena matikan segala gerakan yang dilakukan oleh mereka daripada segi pembiayaan, daripada segi penuntut dan apa yang perlu dilakukan ke atas mereka,” katanya.

Dalam sidang media khas hari ini, Azalina berkata, pihak berkenaan mengambil kesempatan terhadap ketidakstabilan politik negara bagi membuat tuntutan sekali gus membuat keuntungan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said (tengah) bercakap pada sidang mengenai kes Malaysia-Sulu di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 30 JUN 2023.

“Mereka mengambil peluang kemungkinan semasa benda (tuntutan) ini bermula kerajaan Malaysia tidak stabil atau mereka menganggap pertukaran perdana menteri merupakan satu peluang untuk mewujudkan ‘berniaga’,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedar walaupun beberapa kemenangan telah dicapai nanun ia bukan bermaksud tuntutan waris Kesultanan Sulu berakhir.

Malaysia akan mengambil tindakan berasakan undang-undang sekaligus mencabar peguam utama waris kesultanan Sulu Paul Cohen untuk melakukan perkara sama.

“Paling aneh di sini ialah bila kita cabar di mahkamah Madrid dia lari. Kenapa kamu lari? Kamu (Cohen) kata ‘pertarungan’ belum berakhir. Saya kata kita kena ‘bertarung’ secara adil. Kenapa kamu lari?

“Kalau kamu percaya penuntut adalah berhak dari segi undang-undang beri kami peluang membela diri. Bukankan ia akan jadi pertarungan adil?” soal Azalina.

Beliau yakin waris Kesultanan Sulu dan peguam yang mewakili kumpulan berkenaan membuat tuntutan dari satu negara ke satu negara semata-mata sebagai taktik agar penyelesaian dilakukan di luar mahkamah.

“Saya berpendapat mungkin bukan RM65 bilion yang dia hendak, mungkin mereka mereka mahu penyelesaian di luar mahkamah beratus juta dolar Amerika. Saya rasa,” kata Azalina.

Malaysia telah mencapai kemenangan terhadap tuntutan kumpulan itu di Belanda baru-baru ini selepas kejayaan di Perancis.

Kumpulan itu menuntut untuk mendapatkan pampasan berjumlah AS$14.94 bilion (RM68.8 bilion) terhadap Malaysia selepas mendakwa negara menghentikan pembayaran wang serahan berjumlah RM5,300 setahun sejak 2013.

Tahun lalu, waris terakhir Filipina dari Kesultanan Sulu diberi award USD14.9 bilion oleh Mahkamah Timbang Tara Paris.

Sejak itu, mereka memohon penyitaan aset kerajaan Malaysia di Perancis, Luxembourg, dan Belanda, dalam usaha menguatkuasakan award berkenaan.- MalaysiaGazette