UTeM

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengorak langkah kecemerlangan apabila pertama kali dalam sejarah disenaraikan kedudukannya sebagai salah sebuah universiti terbaik dunia dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2024.

Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, berita bersejarah buat UTeM ini telah diumumkan menerusi kenyataan QS yang mana meletakkan UTeM pada kedudukan ke 1200 – 1400 daripada 2693 institusi yang dinilai.

Dr Massila

Jelasnya, pencapaian itu menunjukkan komitmen UTeM yang tidak berbelah bagi kepada kecemerlangan akademik, penyelidikan, pengantarabangsaan, pembangunan pelajar dan inovasi yang memberi kesan langsung buat semua.

Ujarnya, pencapaian julung kali ini dicapai menerusi inisiatif UTeM di peringkat global melalui kerjasama akademik, kolaborasi penyelidikan dan pelbagai bentuk kerjasama samada dengan institusi pengajian tinggi yang lain mahupun dengan industri dan organisasi antarabangsa.

“UTeM beriltizam untuk memperkukuhkan jaringan kerjasama ke beberapa negara lain lagi termasuklah Turki, UAE, Jepun, Korea Selatan dan China serta bakal diperluas ke negara-negara Balkan juga.

“Kami amat teruja dengan pencapaian yang membanggakan ini yang terhasil daripada dedikasi dan kerja keras semua lapisan warga Universiti dari peringkat Lembaga Pengarah Universiti, pihak pengurusan tertinggi dan kanan, warga kerja hingga ke para pelajar kami bagi memastikan kedudukan ini berjaya dicapai” ujarnya lagi.

Berkongsi perjalanan menggapai kejayaan ini, Massila berkata UTeM mula mengemukakan data bagi penilaian penarafan QS dan telah tersenarai pertama kali dalam penarafan QS Asia University Rankings 2020 dan kemuncak pencapaian ini apabila berjaya disenaraikan dalam penarafan tertinggi iaitu QS World University Rankings 2024 dalam tempoh 5 tahun dari penarafan peringkat Asia.

Katanya, elemen-elemen baharu yang diperkenalkan oleh QS World University Rankings seperti kelestarian dan kebolehpasaran graduan akan terus ditekankan oleh UTeM melalui beberapa inisiatif khusus yang telah dirancang rapi di bawah Pelan Strategik UTeM 2023-2025: Menjajar Universiti, Melonjak Ke Hadapan.

Mengulas lanjut beliau berkata, UTeM juga akan memperkukuh peranannya sebagai universiti teknikal yang mengangkat agenda pemerkasaan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada semua peringkat.

“Usaha berterusan akan ditingkatkan bagi meningkatkan lagi kedudukan UTeM dalam penarafan QS World University Rankings,” ulasnya lagi kepada pihak media di pejabatnya di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka. – MalaysiaGazette