Tangkap layar menunjukkan seorang warga emas memandu melawan arus di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Kepala Batas, Pulau Pinang pada Rabu lalu.

KEPALA BATAS – Lelaki warga emas mendakwa menghadapi masalah lupa ingatan menyebabkan dia memandu melawan arus dari Plaza Tol Sungai Dua sehingga Kilometer (km) 126.3 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan), di sini, pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, petugas Peronda Lebuh Raya Zon Utara Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menjejaki kenderaan terbabit selepas menerima laporan mengenai perbuatan lelaki berusia 84 tahun itu pada jam 7.43 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie

Jelas beliau, pemandu itu ditahan sebelum dibawa balik ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara untuk membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan memandu dari rumahnya dari Sungai Petani, Kedah dan mahu ke kedai makan berhampiran dengan tempat tinggal.

“Susulan itu, pemandu tersebut nekad membuat pusingan U sebelum memandu lawan arus di lebuh raya terbabit selepas tersesat jalan.

“Selain itu, hasil temu bual dengan ahli keluarga pemandu berkenaan mendapati warga emas itu menunjukkan petanda lupa ingatan sejak kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambah Mohd Asri, semakan lanjut mendapati lesen memandu warga emas itu turut tamat tempoh.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette