JOHOR BAHRU – Aset Kerajaan Malaysia setakat ini sudah melebihi RM1 trilion, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Nilai itu diperoleh melalui hasil penilaian perakaunan akruan yang dilaksanakan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bersama Jabatan Akauntan Negara sejak 2013.
“Aset yang dimaksudkan itu membabitkan harta Kerajaan Persekutuan yang terdiri daripada bangunan dan tanah di seluruh negara,” katanya.
Angka ini dijangka meningkat kerana JPPH bersama Jabatan Akauntan Negara sedang meneliti teliti untuk menilaikan harta Kerajaan Pusat yang ada di seluruh negara membabitkan tanah dan bangunan seperti sekolah, klinik, hospital, bangunan kerjasama dan pejabat kerajaan.
“Aset Kerajaan Pusat yang telah kita (kerajaan) nilaikan itu juga sudah merangkumi lebih separuh daripada aset kerajaan yang ada,” katanya pada sidang media selepas melawat pejabat JPPH Johor, di sini, hari ini.
Ahmad Maslan berkata, proses penilaian akan diteruskan untuk menilai aset lain termasuk aset luar negara yang masih belum dinilai.
“Kita menjangkakan ia akan terus meningkat dengan pertambahan RM30 bilion tahun ini,” tambahnya.
Ahmad berkata, kerajaan akan teruskan proses berkenaan, cuma kali ini ia akan melibatkan penilaian seperti jentera, loji, peralatan serta aset tidak ketara seperti patern, perisian sistem, ‘intelectual property’, jambatan dan jalan.
“Kementerian Kewangan akan memastikan proses pengiraan itu terus dilakukan. Saya berharap nilai aset kita lebih banyak daripada nilai hutang kita termasuk liabiliti yang mencecah RM1.5 trilion,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, aset Kerajaan Pusat yang sudah dinilai merangkumi RM24 bilion di Johor.
Ia termasuk sekolah-sekolah milik Kementerian Pendidikan dan aset bernilai RM9.2 bilion milik Kementerian Pertahanan yang melibatkan kem-kem tentera dan tanah.
“Aset Kementerian Kesihatan termasuk hospital dan klinik mencecah RM8.7 bilion, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebanyak RM3.4 bilion dan Jabatan Perdana Menteri (RM3.3 bilion),” ujar beliau. – MalaysiaGazette