Foto media sosial Awie.

KUALA LUMPUR – Rocker popular, Datuk Awie akhirnya bertemu dengan dua anaknya, Putra Ahmad Rezzki, 15, dan Putri Qasseh Antasha, 13, selama dua hari selepas lapan tahun terpisah.

Menerusi perkongsian di media sosial miliknya, Awie turut memuat naik gambar dalam pertemuan yang turut disertai isterinya, Datin Sharifah Ladyana Syed Samsuddin dan anak lelaki mereka.

Turut serta, tiga lagi anak Awie iaitu Putri Aleeya Antasha, 23, Putri Aleefa Antasha, 21, dan Putra Ahmad Merrah, 16.

Menerusi gambar dikongsikan, penyanyi kumpulan Wings itu dilihat berkumpul bersama anak-anaknya di sebuah hotel.

“Air mata menjadi saksi. Rinduku berbalas. Anak-anakku dunia akhirat. Moga bahagia hingga ke jannah. Terima kasih isteriku. Terima kasih kepada ibu anak-anakku.

“Moga ini menjadi titik permulaan baik untuk semua. Allahuakbar,” tulisnya.

Sebelum ini Awie berkata, sambutan Aidiladha tahun ini paling bermakna kerana dapat bertemu dengan Rezzki dan Qasseh yang kini di bawah jagaan bekas isterinya, Rozana Misbun.

Menerusi perkahwinan dengan Rozana pada 20 Jun 2005, mereka juga dikurniakan seorang lagi anak iaitu Merrah.

Awie dan Rozana bercerai pada 1 November 2014 dan Merrah kini tinggal bersama Awie.

Awie juga memiliki dua cahaya mata menerusi perkahwinan pertama dengan penyanyi, Arni Nazira iaitu Putri Aleeya Antasha dan Putri Aleefa Antasha.

Pada 7 Oktober 2016, Awie mendirikan rumah tangga bersama Sharifah Ladyana dan dikurniakan seorang anak lelaki pada 2020. – MalaysiaGazette