TVET
Adam Adli Abd Halim (berdiri, lima dari kiri) dan Mohammad Rizan Hassan (berdiri, dua dari kiri) bersama peserta-peserta Program Belia TVET Malaysia-China pada majlis perasmian di Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Sektor korporat perlu membuka lebih banyak peluang kepada belia yang menyertai program latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk mengembangkan kemahiran dan kemahiran mereka.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, langkah itu berupaya membantu peserta-peserta program TVET memacu industri yang diceburi selepas memasuki alam pekerjaan kelak.

“Bukan setakat automotif, ada banyak lagi kemahiran termasuk multimedia bagi mengisi keperluan pasaran.

“Ini dunia baharu bukan sekadar kekalkan pekerjaan sedia ada tetapi cipta pekerjaan baharu yang sesuai dengan cabaran zaman dan perkembangan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selepas merasmikan majlis pelepasan peserta Program TVET Belia Malaysia-China di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Mahamad Rasana Mahamad Ali; Presiden Federasi Kebangsaan Pekerja Belia Malaysia, Ahmad Saparudin Yusup; Ketua Projek Belia Mahir, Mohammad Rizan Hassan dan Ketua Eksekutif Gemilang Motor Academy, Koh Sing Yee.

Sementara itu, Mohammad Rizan berkata, seramai 20 belia berkemahiran TVET di bawah Projek Belia Mahir menjadi kumpulan pertama yang akan menjalani latihan asas teknologi kenderaan elektrik (EV) selama dua minggu di Kolej Politeknik Tangshan, Beijing.

Menurut beliau, semua kos berkaitan latihan termasuk makanan dan pengangkutan adalah percuma kerana ia dibiayai di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan yang diperkenalkan oleh Presiden China, Xi Jinping.

“Ia adalah sebagai komitmen China terhadap negara-negara yang memberi sokongan kepada BRI),” jelasnya yang juga Setiausaha Agung PKPB.

Dalam perkembangan sama, Mohammad Rizan memberitahu, PKPB menyasarkan seramai 500 peserta berpeluang mengikuti Program TVET Belia Malaysia-China tahun ini.

“Peluang ini juga terbuka kepada tenaga pengajar yang memainkan peranan penting dalam konteks pemindahan pengetahuan dan teknologi,” katanya. – MalaysiaGazette