Ahmad Maslan

JOHOR BAHRU – Kerajaan akan mencari langkah terbaik menyekat penipuan eBeliaRahmah agar aktiviti itu dapat ditangani segera.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, untuk itu Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan berbincang mengenai perkara tersebut.

Perbincangan itu katanya, akan memberi tumpuan kepada usaha untuk memberi kesedaran dan tindakan yang perlu dilakukan bagi mengelak penerima eBeliaRahmah ditipu ‘scammer’.

“Kita (MOF ) tidak mahu melihat belia berusia 18 hingga 20 tahun ditipu dengan ‘scammer’ yang mendakwa boleh berikan mereka tunai, selepas itu RM200 dalam eBeliaRahmah mereka lesap.

“Usaha ini memang kita (kerajaan) akan beri tumpuan dan lakukan melalui laman sosial, saluran media televisyen, radio dan akhbar berkait langkah mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan Jabatan Penilaian dan Perkhimatan Harta (JPPH) Johor hari ini.

Ahmad turut mengingatkan penerima bahawa kredit eBeliaRahmah tidak boleh ditebus tunai mahupun dipindah kepada pemilik akaun yang lain.

“Untuk bantuan ini kita sediakan melalui penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu Boost, Setel dan Touch ‘n Go eWallet.

“Manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet ini ialah belia boleh belanja secara ‘offline’ hingga 31 Ogos 2023,” katanya.

Sebelum itu terdapat laporan segelintir penerima bantuan menjadi mangsa penipuan pihak yang kononnya menyediakan ‘perkhidmatan’ menunaikan kredit eBeliaRahmah bagi tujuan terbabit di platform media sosial.

Program eBeliaRahmah ialah inisiatif kerajaan yang diumumkan di bawah Belanjawan 2023 bagi memupuk budaya pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia.

Inisiatif berkenaan mampu mambantu meringankan beban kewangan golongan belia dan pelajar insititut pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa.- MalaysiaGazette