“SAYA menantikan soalan dan pendapat semua pihak dalam sesi santai dan penuh harmoni, bagi meraikan perbezaan serta pandangan”, hantaran ringkas di Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mempelawa rakyat Negeri Sembilan terutama golongan muda menyertai sesi Temu Anwar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diadakan pada 24 Jun lalu. Dalam beberapa siri Temu Anwar sebelum ini, kehadiran Perdana Menteri sememangnya dinantikan dan disambut dengan sorakan gembira dan tepukan gemuruh anak muda di setiap lokasi.
Melihat kemeriahan sambutan dan penglibatan anak muda di setiap lokasi, ia memberi indikasi jelas bahawa anak muda sememangnya cukup teruja dan menghargai ruang masa yang diberikan oleh Perdana Menteri untuk duduk bersama-sama disebalik jadual harian yang padat untuk mendengar ‘isi hati’ mereka. Program berkonsep sebegini tidak lain tidak bukan pastinya bertujuan untuk membuka dan memberi peluang orang ramai mendekati dan mengenali lebih dekat Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pemimpin utama negara. Melalui medan sebegini juga, Perdana Menteri dapat menyantuni rakyat secara lebih santai tanpa terlalui dibatasi dengan elemen protokol.
Bagi penulis, kesungguhan Perdana Menteri mencari masa dan ‘berani’ berhadapan dengan anak muda dalam program seumpama ini adalah satu teladan yang baik kepada pemimpin diperingkat kerajaan sehinggalah masyarakat. Maksudnya para pemimpin carilah masa untuk mendekati dan mendengar suara anak muda dipelbagai peringkat. Sudah dimaklumi bahawa anak muda merupakan pemimpin masa hadapan yang bakal mencorak hala tuju negara nanti. Justeru dalam pelbagai proses untuk membentuk mereka menjadi pemimpin, satu proses yang amat penting pada pandangan penulis adalah keperluan kepada pemimpin sedia ada untuk sentiasa ‘attach’ dengan mereka.
Proses ini tidak semestinya dijumudkan hanya berlaku dengan penglibatan anak muda dalam parti politik semata-mata, medannya lebih luas daripada itu. Membuka ruang untuk generasi muda melontar pandangan, idea mahupun kritikan kepada dasar dan tindakan semasa Kerajaan juga merupakan salah-satu daripada proses tersebut. Apabila golongan muda khususnya yang berada di universiti melihat bahawa setiap pandangan, idea dan kritikan yang mereka utarakan diambil cakna oleh Kerajaan, ini merupakan suatu bentuk didikan dan pengajaran juga sebenarnya kepada mereka.
Didikannya apa? Kelak apabila menjadi pemimpin di masa depan, ‘dengarlah’ segala keluh kesah rakyat hatta sekecil rungutan sekalipun, kerana itulah sebahagian dari tugas seorang pemimpin. Bukan dipekakkan telinga untuk mahu mendengar yang enak-enak dan indah-indah sahaja. Sehingga gagal berdiri dan berpijak di bumi yang nyata untuk melihat dan menyedari realiti sebenar yang membelenggu rakyat di bawah
Selepas beberapa siri Temu Anwar diadakan, bertemu dengan ribuan anak muda yang sebahagian besarnya mahasiswa, meluangkan masa berjam-jam lamanya mendengar setiap pandangan dan persoalan mereka, pastinya Perdana Menteri telah mendapat pelbagai input yang penting untuk diterjemahkan dalam bentuk tindakan selepas ini. Sebagai bekas penuntut universiti dan kini berkhidmat juga di universiti, penulis tidak dapat menafikan bahawa di sinilah tempat terbaik untuk menyubur idealisme dan kepimpinan anak muda dari segenap segi.
Ini kerana di universiti subur di dalamnya dengan budaya keilmuan, bermukim di situ kumpulan akademia dengan ketinggian ilmu tersohor dan para pentadbir yang berpengalaman. Tidak hanya idealisme dan kepimpinan disuburkan, alam kampus menjadi tempat untuk melahirkan anak muda yang punyai ‘karamah insaniah’ yang tinggi kerana golongan seperti inilah yang watan perlu dan dahagakan di kemudian hari sebagai ‘nurani kepada rakyat’ dan jurubicara umat.
Kerana itu, Perdana Menteri dalam beberapa program beliau di universiti kerap melontarkan buah fikir bahawa universiti harus menjadi tempat di mana pelajar boleh berekspresi secara bebas tanpa suara mereka disekat oleh mana-mana pihak. Universiti mesti menjadi tempat untuk pelajar menuntut ilmu dalam persekitaran yang membolehkan mereka berfikir dan berkembang secara intelek.
Memetik ucapan Perdana Menteri semasa Temu Anwar di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, katanya “Saya meletakkan harapan tingkat tinggi kepada anak muda dan golongan belia dari pelbagai kaum dan agama untuk terus memupuk nilai-nilai yang luhur sebagai usaha dan upaya memacu negara kita ke tahap lebih baik di masa hadapan”.
Melalui pendekatan MADANI yang di bawa oleh Kerajaan, penulis meyakini bahawa anak muda akan diberi dan dibuka ruang yang lebih besar untuk menjadi penggerak penting dalam pembangunan, politik dan ekonomi. Generasi lama yang sudah makan lebih garam boleh membantu anak-anak muda ini mencorakkan masa depan negara dengan pengalaman hebat yang sudah mereka tempuh. Dengan perkembangan dan kemajuan teknologi yang semakin pesat, perubahan sosioekomi, taraf hidup dan pendidikan yang lebih baik, negara tidak boleh lagi bergerak dengan gaya lama yang sudah kurang relevan. TAMAT
Penulis adalah Penolong Pendaftar Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan merupakan Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS). Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis