Nor Azah.

GEORGE TOWN – Exco Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan kedudukan DAP di Pulau Pinang mula goyah susulan kenyataan Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng mahu 1.8 juta rakyat Pulau Pinang menyokong Kerajaan Perpaduan serta menentang Perikatan Nasional (PN) berhubung isu sejarah Pulau Pinang-Kedah.

Nor Azah Abdul Aziz yang juga Ketua Srikandi Bersatu Bukit Gelugor berkata, tindakan itu juga menunjukkan DAP tiada isu selain membangkitkan soal perkauman seolah-olah orang Melayu mahu merampas Pulau Pinang daripada Cina dan menggambarkan orang Cina bakal dihalau keluar dari sana.

“Kenyataan Guan Eng menimbulkan persoalan, adakah DAP wakil British di Malaysia yang ingin mempertahankan sejarah yang dilakar mereka atau beliau (Guan Eng) susur galur keturunan Francis Light ?

“Ini satu perkara yang tidak masuk akal, ia tiada kaitan politik perkauman dalam memperbetulkan semula sejarah tipu yang dilakar British.

“Seluruh rakyat Malaysia amat memahami dengan mudah kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menceritakan sejarah negeri Kedah sehingga kepada penegasan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah baru-baru ini yang bertitah bahawa amat tidak wajar sekiranya suara rakyat negeri itu didiamkan terutamanya membabitkan kedudukan negeri itu dan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Nor Azah, pihaknya yakin 1.8 juta rakyat negeri ini, yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India, tidak mahu memberikan satu undi untuk DAP memandangkan undi itu akan memihak kepada BN yang diketuai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Sudah tiba masanya rakyat Pulau Pinang mengundi PN sebagai satu referandum bantahan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan – UMNO kerana gagal mengurus negara.

“Pelbagai isu sedang menghimpit rakyat termasuk membabitkan kos sara hidup terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah, harga barang keperluan, nilai ringgit yang merudum serta ekonomi negara,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast