Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR – DAP menyangkal kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa turut mengikut manifesto DAP disebabkan pengaruh parti itu pada Kerajaan Perpaduan.

Ia termasuk dakwaan akan mengugut Perdana Menteri untuk mengubah kedudukan Islam sebagai agama rasmi dengan tanpa agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menyifatkan dakwaan itu satu tindakan sangat tidak bertanggungjawab dan melulu tanpa asas terhadap parti itu, Loke Siew Fook berkata, semua Ahli Parlimen DAP akan mempertahankan semua perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk menghormati kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Pada masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai seperti termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung DAP itu menegaskan, DAP tidak pernah dan tidak akan mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya berasa amat kecewa dengan dakwaan Tun kononnya DAP akan mengugut Perdana Menteri. Apakah beliau sudah lupa bahawa semasa beliau menjadi Perdana Menteri dari Mei 2018 sehingga Februari 2020, beliau didukung oleh 42 Ahli Parlimen DAP?

“Adakah DAP pernah menarik sokongan daripada beliau atau mengugut kedudukannya?,” soal beliau dalam satu kenyataan di sini.

Dalam kenyataan terbaharunya, Mahathir mendakwa DAP mempunyai pengaruh yang kuat dalam Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Anwar.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi berkenaan tidak menafikan hakikat hanya terdapat empat menteri daripada DAP dalam Kabinet.

“Tetapi dalam kerajaan terdapat 40 ahli DAP. Jika DAP tarik diri, kerajaan Anwar akan jatuh,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Loke menambah, sejak negara mencapai kemerdekaaan, Malaysia terkenal sebagai sebuah negara berbilang kaum yang dapat hidup bersama secara aman.

Soalnya, adakah Tun lupa berkenaan visi beliau untuk melahirkan bangsa Malaysia melalui Wawasan 2020.

“Mengapa hari ini beliau sanggup mengambil satu pendirian yang begitu bermusuhan dengan masyarakat berbilang kaum di Malaysia?,” tanya beliau lagi.

Menurut Loke, DAP tidak akan bermusuhan dengan mana-mana kaum, sebaliknya akan terus berkhidmat demi negara dan memainkan peranan untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu padu berasaskan prinsip-prinsip Rukun Negara.

Oleh itu, Mahathir tak perlu bimbang kerana Malaysia akan sentiasa kekal sebagai anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di bawah Kerajaan Perpaduan, ujarnya. – MalaysiaGazette

Perlembagaan tak sebut Malaysia negara berbilang kaum – Tun M