M Indira Gandhi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, menetapkan 4 September depan bagi mendengar permohonan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutan (MAIWP) untuk menjadi pencelah dalam saman pemula untuk mencabar penukaran agama kanak-kanak kepada Islam secara sebelah pihak.

Turut memohon menjadi pencelah bersama MAIWP ialah dan Badan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan (BPSWP).

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid pada prosiding secara atas talian, hari ini.

Ahmad Shahid turut memerintahkan semua pihak untuk memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 24 Julai ini.

Sebelum ini, seorang guru tadika, M Indira Gandhi memulakan saman pemula dengan menamakan kerajaan negeri Perlis, Kedah, Melaka, Pahang, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan selaku defendan.

Pada 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak Indira hampir 14 tahun lalu kepada Islam oleh bekas suami mualafnya adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Indira memohon perisytiharan bahawa amalan penukaran agama secara unilateral adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Turut memohon bersama Indira ialah 13 plaintif lain termasuk Pertubuhan Agamam Ani; bekas pengerusi Malaysia Hindu Sangam dan Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST), S Mohan dan Pengerusi Indira Gandhi Action Team, D Arumugam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast