Anggota Polis Trafik Kuala Lumpur melakukan pemeriksaan penunggang motosikal yang melakukan kesalahan pada Ops Khas Motosikal Hari Raya Aidiladha Siri 2/2023 di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN 02 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan (JPJWPKL) Kuala Lumpur mengeluarkan sebanyak 1,286 notis saman atas pelbagai kesalahan sepanjang Operasi Khas Hari Raya AidilAdha (HRAA) yang dimulakan sejak 27 Jun lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (JPJWPKL), Erick Jusiang berkata, daripada jumlah itu, 535 saman dikeluarkan atas kesalahan tidak mempunyai lesen memandu.

Katanya, kesalahan lain yang turut ditemui adalah pemilik kenderaan tidak mempamerkan cukai jalan atau cukai jalan tamat tempoh.

Anggota JPJ Kuala Lumpur melakukan pemeriksaan penunggang motosikal yang melakukan kesalahan pada Ops Khas Motosikal Hari Raya Aidiladha Siri 2/2023 di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN 02 JULAI 2023.

“Adalah menjadi kesalahan jika tidak mempamer cukai jalan. Saya ingin tekankan, walaupun tidak wajib untuk pamer cukai jalan, janganlah ambil mudah perkara itu. Kita kena perbaharui cukai jalan itu dan insurans.

“Kita ada alat untuk periksa cukai jalan ni. Jadi, bukanlah ia menjadi kesukaran kepada kami untuk membuat pemeriksaan ini,” katanya kepada media selepas mengadakan Ops HRAA di Jalan Pahang, di sini, malam ini.

Selain JPJ, Operasi berkenaan turut disertai anggota dan pegawai dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Antara warga asing yang ditahan oleh anggota Jabatan Imigresen pada Ops Khas Motosikal Hari Raya Aidiladha Siri 2/2023 di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN 02 JULAI 2023.

Erick berkata, dalam operasi yang diadakan pihaknya turut mendapati ada syarikat bas yang menggunakan permit syarikat bas lain untuk menjalankan aktivitinya.

Ujarnya, syarikat bas terbabit telah melakukan kesalahan dan telah dikenakan tindakan yang sewajarnya.

“Saya nak tegaskan agar syarikat-syarikat bas ini tidak mengambil kesempatan menggunakan permit syarikat lain untuk menjalankan perniagaan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette