Ammar Atan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tiong King Sing didesak memohon maaf secara terbuka kepada anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) susulan kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Naib Ketua Pemuda Amanah, Ammar Atan berkata, walaupun usaha itu murni untuk membanteras budaya rasuah, namun matlamat tidak menghalalkan cara.

“Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu perlu menghormati tugas pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes berunsur rasuah.

“Kami rasa sedikit canggung dan hairan bagaimana seorang Menteri tidak dapat memahami peranan badan berautoriti sehingga akhirnya mencemarkan nama baik kementerian dan JIM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang Menteri didakwa cuba melepaskan seorang pelawat China yang ditahan anggota JIM dalam satu kejadian di Balai Ketibaan KLIA, baru-baru ini.

Bagaimanapun King Sing mengakui menteri dimaksudkan itu dirinya, namun menafikan dakwaan beliau cuba berbuat demikian seperti dilaporkan sebuah portal media dalam talian.

King Sing dalam kenyataan mempersoalkan siapa sebenarnya menyalahgunakan kuasa dalam kejadian itu, sama ada beliau atau pun pegawai Imigresen bertugas.

Ammar berkata, Pemuda Amanah juga merakamkan penghargaan kepada anggota JIM dan penjawat awam yang bertugas di pintu masuk negara itu.

“Jasa dan tanggungjawab anda kami sangat hargai.

“Anda adalah tulang belakang kerajaan yang melaksana tanggungjawab penting dan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan integriti dalam memberi penyampaian perkhidmatan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Menganggu gugat penjawat awam melaksanakan tugas mereka merupakan suatu kesalahan yang amat besar dari segi undang2.

    Harap PM dapat menyingkirkan menteri tersebut dengan segera diatas kesalahan yang telah dilakukan.

Comments are closed.