KUALA LUMPUR – Sesiapa sahaja boleh mencemuh atau memanggil Tun Dr Mahathir Mohamad nyanyuk, namun sebagai orang Melayu, Datuk Zaid Ibrahim tidak akan melupakan sumbanga bekas Perdana Menteri itu kepada negara.
Zaid berkata, terdapat individu yang bertindak sedemikian merupakan penerima manfaat daripada dasar yang dilaksanakan Dr. Mahathir.
“Mereka adalah golongan yang tidak bersyukur, tetapi orang Melayu akan mengingatinya. Kita tunggu dan lihat,” ciap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen) itu di akaun Twitter, hari ini.
Serangan terhadap Dr Mahathir tercetus berikutan kenyataan negarawan itu semalam yang mendakwa amalan mempromosikan negara berbilang bangsa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dr Mahathir mendakwa, Perlembagaan Persekutuan hanya menekankan Kemelayuan Malaysia.
Tambah Zaid, sumbangan Dr Mahathir kepada negara boleh dilihat daripada pelbagai sudut termasuk pendidikan, ekonomi dan pembangunan infrastruktur.
“Beliau meluaskan pendidikan di negara ini dan berusaha sedaya upaya untuk mengajak orang Melayu mempelajari Bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains.
“Beliau mengembangkan MARA secara besar-besaran dan mengangkat ITM menjadi universiti, dia membina infrastruktur seperti pelabuhan, jambatan Pulau Pinang, lebuh raya dan Putrajaya… dan banyak lagi.
“Sektor pembuatan dan perindustrian negara telah dimulakan oleh beliau. Jika tidak kerana dia, Felda dan Felcra tidak akan didengari. Banyak yang dia lakukan untuk memartabatkan orang Melayu,” ujarnya.
Menurut Zaid, walaupun Dr Mahathir melakukan beberapa kesilapan dalam pentadbiran negara, namun beliau berjaya mencipta banyak kejayaan dan juga kekayaan.
“Okay, dia melakukan kesilapan: dia memusnahkan badan kehakiman, orang lain mengambil kesempatan ke atasnya, dan rasuah berleluasa… tetapi dia mencipta kekayaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Nak dibandingkan jasa Atok dengan PM sekarang bagaikan langit dengan bumi…