KUALA LUMPUR – Nama Inspektor Sheila terus menjadi sebutan di kalangan netizen dia apabila menyatakan hasrat untuk mencari pasangan hidup dan mendirikan rumah tangga.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Sheila menetapkan beberapa syarat untuk golongan lelaki yang berminat menjadi teman hidupnya.
Namun mengalu-alukan secara terbuka sekiranya ada jejaka yang sudi untuk keluar temu janji dengannya bagi mencari keserasian.
“Ada sesiapa di sini yang nak berkahwin dengan saya? Beritahu saya di bahagian komen untuk keluar berjanji temu terlebih dahulu bagi mengenali satu sama lain.
“Lelaki itu perlu melepasi semua syarat yang saya tetapkan. Seterusnya berjumpa dengan ayah saya untuk meminta persetujuan dan restu daripadanya,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Sheila juga memberitahu, dia mengutamakan seorang lelaki bujang dan terbuka kepada semua kaum.
Namun, katanya, dia tidak meletakkan kriteria tertentu tentang umur, agama serta kerjaya.
“Semua orang boleh cuba. Jadi, tunggu apa lagi? Tulis ‘ya’ dalam ruangan komen,” katanya.
Sebelum ini, Sheila atau nama sebenarnya S.Sheila Sharon, 35, didakwa di Mahkamah Majistret Selayang bagi pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis berpangkat lans koperal.
Untuk itu Sheila didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Sheila didakwa atas dua lagi pertuduhan iaitu mengugut seorang wanita dan menghina kesopanan seorang lelaki.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 kanun sama yang boleh dipenjara dua tahun dengan denda atau kedua-duanya.
Dia mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan dan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 7 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Sehubungan itu Polis Diraja Malaysia mengenakan tindakan tatatertib terhadapnya termasuk digantung tugas. – MalaysiaGazette