Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika hadir melancarkan buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam di Kompleks Islam Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN 04 JULAI 2023.

PUTRAJAYA – Peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di bawah Kerajaan Perpaduan lebih besar, bukan sekadar membicara soal Islam semata-mata.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jakim kini sudah terlibat dalam urusan belanjawan negara.

Katanya, ia merupakan reformasi yang dibawa Malaysia Madani, tidak seperti kerajaan terdahulu yang meminggirkan fungsi jabatan berkenaan.

“Sekarang ini kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) turut ambil kira input Jakim. Ini bukan dokumen Islam RMK-12 tetapi pengisian itu penting, ia berbeza dengan pendekatan lama termasuk dalam kerajaan yang disertai mereka selama 33 bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima buku daripada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff (dua kiri) selepas melancarkan buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam

Jelas beliau, beliau sudah mengarahkan Jakim untuk terlibat dalam membicara naratif ekonomi, Belanjawan Madani dan dasar pendidikan.

“Mana ada peranan Jakim dalam belanjawan dan RMK-12 ketika kerajaan terdahulu. Sekarang sudah ada sebab Malaysia Madani mempertahan soal nilai dan akhlak,” ujarnya.

Anwar berkata, hasratnya itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. – MalaysiaGazette