BANTING – Projek Transit Aliran Ringan Laluan Shah Alam (LRT3) sepanjang 37.8 kilometer akan mula beroperasi menjelang 1 Mac 2025.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, setakat ini kemajuan pembinaan projek itu adalah 86 peratus.

“Projek LRT3 ini sedang rancak dilaksanakan dan kemajuan bagi kerja-kerja sivil atau pembinaan hampir siap lebih 80 peratus. Sekarang ini juga sedang rancak dilaksanakan kerja-kerja ujian sistem signal dan sebagainya.

“LRT3 ini akan mula beroperasi pada 1 Mac 2025 atau lebih kurang 18 bulan dari sekarang,” katanya kepada pemberita di Depoh LRT3 Johan Setia, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau melakukan tinjauan kemajuan projek LRT3 di Depoh Johan Setia.

Hadir sama Pengerusi Prasarana, Tan Sri Jamaludin Ibrahim dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah.

LRT3 yang mempunyai 20 stesen itu akan menghubungkan Bandar Utama, Petaling Jaya hingga ke Johan Setia.

“Setakat ini 20 stesen masih dalam pembinaan di mana ada dua stesen pertukaran utama iaitu Bandar Utama yang menghubungkan MRT Kajang lain ke LRT3.

“Tadi pun saya ada melawat sambungan itu di Bandar Utama dengan stesen MRT dengan LRT3 Bandar Utama di mana di tengah-tengah itu ada jejambat yang menghubungkan kedua-dua stesen itu

“Stesen pertukaran kedua ialah di Glenmarie di mana ia akan menghubungkan di antara LRT Kelana Jaya lain dengan LRT3 ini,” katanya.

Jelasnya, projek pengangktuan awam yang bernilai RM16 bilion itu akan menggunakan 22 tren baharu.

“Memang tak sama di 20 stesen LRT3 semua tren baharu, kita harap ia beri satu kemudahan dengan tren yang cukup selesa.

“Semua tren baharu ini menggunakan teknologi hijau supaya lebih mesra alam.

“Saya dimaklumkan semua tren itu sudah bersedia dan diuji supaya dapat beroperasi dengan baik apabila laluan itu dibuka nanti,” katanya.

Selain itu, apabila LRT3 mula beroperasi, ia mampu memberi manfaat kepada 2 juta penduduk di sekitar koridor barat Lembah Klang dan boleh membawa 18,630 penumpang setiap jam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast