KUALA LUMPUR — Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pejabat Peguam Negara (AGC) diminta untuk tidak bertanding dalam prosiding semakan kehakiman yang difailkan Majlis Kawalan Tembakau Negara (MCTC) berkenaan keputusan nikotin dikeluarkan daripada senarai bahan terkawal dibawah Akta Racun 1952.
Presiden MCTC, Dr Murallitharan Munisamy berkata, semakan itu merupakan inisiatif bagi mahkamah menterjemah undang-undang ke atas hak asasi manusia termasuk kanak-kanak daripada segi kesihatan umum sebagai panduan kepada kerajaan.
“Pada masa ini tiada sebarang undang-undang atau peraturan berkenaan pengendalian peranti vape dan rokok elektronik serta penggunaan nikotin dalam peranti itu.
“Semakan kehakiman bertujuan untuk mengkaji tindakan pelbagai cabang kerajaan (eksekutif, dalam kes ini dan khususnya Kementerian Kesihatan) dan menentukan sama ada tindakan itu selaras dengan perlembagaan. Perkara ini menimbulkan banyak persoalan dan tidak nampak satu penghujung.
“Jika tindakan yang dinilai tidak konsisten diisytiharkan tidak berperlembagaan dan oleh itu ia akan terbatal dan tidak sah. Biarkan isu ini ke mahkamah dan biar mereka melihat perspektif yang lebih besar,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Agung MCTC, Muhammad Sha’ani Abdullah; Timbalan Presiden MCTC, Roslizawati Md Ali dan wakil Voice of Children (VoC), Sharmila Sekaran.
Sementara itu, Murallitharan berkata, semakan itu juga dilakukan memandangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 belum dibentang dan diluluskan di Parlimen bagi membolehkan kawalan dibuat ke atas nikotin.
“Dari segi legislatif, kita boleh nampak benda ini belum berlaku. Kita tiada (sidang) Parlimen sampai Oktober. Dan kita tidak tahu sama ada ia lulus atau tidak.
“Nikotin ini, dalam masa 72 jam dah boleh menyebabkan ketagihan, dan dalam saya menunggu 170 hari bagi persidangan Parlimen, mungkin akan ada 5,000 hingga 10,000 kanak-kanak baharu yang ketagih nikotin. Itu yang menyebabkan kita pergi ke institusi kehakiman,” katanya.
Pada 30 Jun lalu, tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan selaku pemohon menamakan dua responden iaitu KKM dan kerajaan melalui firma guaman Kanesalingam & Co.
Pada 31 Mac lalu, warta yang dikeluarkan Dr Zaliha menyatakan nikotin termasuk tembakau, tampalan dan gula-gula getah, cecair dan gel nikotin kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952. -MalaysiaGazette