KUALA LUMPUR – Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa mewujudkan masyarakat berbilang kaum bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak tepat, kata Setiausaha Politik Menteri Kesihatan, Napsiah Khamis @ Mahran.
Kenyataan bekas Perdana menteri itu juga dilihat berbahaya kerana tafsiran negarawan itu juga memberikan implikasi bahawa warganegara bukan Melayu seolah-olah tiada tempat dan sekadar kelas kedua, jelasnya.
“Malah jelas bertentangan dengan cita-cita dan impian Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman dan para pembina Negara yang telah berjuang memerderkakan Tanahair didalam semangat kebersamaan pelbagai kaum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Mahathir mendakwa Kerajaan Perpaduan akan jatuh sekiranya DAP menarik diri.
Sementara itu, Napsiah berkata, Mahathir juga cuba membawa naratif baru yang sangat bersifat perkauman dan tafsiran semberono kepada peruntukan dalam terdapat dalam Perlembagaan.
Tambah beliau, kenyataan itu jelas berniat jahat dan tidak membantu membina sebuah negara yang aman damai dan bersatu padu.
“Adalah jelas sejak dahulu Dr Mahathir sememangnya seorang yang sangat tidak konsisten serta cakap tidak serupa bikin. Kenyataan terbaru beliau jelas menunjukkan watak sebenar Dr Mahathir.
“Saya menyeru kepada Dr Mahathir supaya berhenti bermain dengan sentimen perkauman, berhenti untuk menonjolkan diri konon sebagai hero Melayu serta mengacaubilaukan perpaduan kaum yang telah dibina selama ini dan termaktub didalam Perlembagaan,” katanya – MalaysiaGazette