S Murugan beri amaran kepada sembilan individu untuk segera tarik balik tohmahan atau berdepan saman dalam tempoh seminggu.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mengaku membuat laporan polis palsu terhadap seorang ahli perniagaan bergelar Datuk kerana takut didakwa atas kesalahan terlibat dalam skim kutu.

Perkara itu didedahkan mangsa, Datuk S Murugan setelah lelaki berusia 43 tahun itu hadir ke pejabatnya dan menyerahkan salinan laporan polis yang dilakukannya.

Murugan berkata, sebelum ini terdapat sekumpulan individu yang menyebarkan fitnah bahawa beliau melakukan penipuan pelaburan menyebabkannya membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terbabit.

Berikutan itu, lelaki tersebut menarik balik laporan polis yang lakukannya.

“Lelaki itu hadir ke pejabat saya pagi ini setelah melihat laporan akhbar semalam dan memohon maaf serta memaklumkan beliau telah menarik balik laporan polis yang dibuat bersama sembilan individu lain.

“Dia juga menyerahkan salinan laporan polis yang telah ditarik balik selain membuat pengakuan bahawa dia terpaksa membuat laporan ‘palsu’ kerana mendapat tekanan daripada pemain-pemain kutu lain,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Murugan berkata, lelaki itu mendakwa dipaksa membuat laporan palsu oleh seorang lelaki yang memberitahunya jika beliau mengaku ditipu dalam pelaburan, peluang untuk mendapatkan balik wang yang dilabur lebih cepat.

“Beliau turut diugut jika mengaku terlibat dengan kutu, beliau akan diambil tindakan dan wang pelaburannya akan hangus begitu sahaja,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Ahli perniagaan dakwa jadi mangsa skim Kutu Ponnusamy