Abdul Rahim Thamby Chik.

KUALA LUMPUR – Tidak pernah ada dalam sejarah di negara ini seorang menteri ‘merempuh’ kementerian lain dan tidak menghormati tugas penjawat awam.

Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, seorang menteri sepatutnya tahu prosedur membawa sesuatu isu ke Kabinet dan bukannya ‘meraung’ di tempat kejadian dengan memberi arahan tertentu.

Menurut bekas Ketua Menteri Melaka itu, insiden sebegitu amat memalukan dan menunjukkan sikap seorang menteri Kabinet yang tidak berdisiplin.

“Beliau langsung tidak menghargai langsung penjawat awam. Malah beliau pula sebagai menteri mengarah ambil tindakan ke atas agensi di kementerian lain.

“Ini menunjuk beliau tidak ada disiplin dalam Kabinet. Beliau sepatutnya membawa isu itu kepada perdana menteri dalam mesyuarat Kabinet dan perdana menteri yang akan arahkan.

“Tapi di situ (KLIA) beliau meraung-raung, arah Menteri KDN kerana ada rasuah tetapi beliau tidak ada bukti. Macam mana kita perlu Kabinet yang berdisiplin jika menteri pun porak-peranda,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang didakwa melepasi kaunter Jabatan Imigresen untuk ‘menyelamatkan’ seorang pelancong China yang ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Jumaat lalu.

Sebelum ini, King Sing menegaskan akan merujuk kepada SPRM untuk menyiasat dalang penyebaran video kekecohan yang mendakwa beliau menyalahguna kuasa di KLIA.

Beliau turut mendakwa video itu dirakam oleh pegawai Jabatan Imigresen yang berada di tempat kejadian, tindakan yang didakwanya sengaja untuk menutup kesalahan serta aktiviti rasuah yang berlaku di balai ketibaan berkenaan.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pertemuan bersama menteri itu hari ini susulan dakwaan rasuah di KLIA.

Beliau berkata, pelancong dari China yang dikatakan menjadi mangsa kepada perlakuan rasuah berkenaan juga akan bersama dalam pertemuan itu. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Sekejap kata minta RM3K, ada yang kata RM15K, ada pula yang kata RM18K?

    Tanpa mengira siapa mereka, saksi2 yang telah membuat pengsaksian palsu atau menipu hendaklah segera ditangkap, didakwa dan dipenjarakan.

  2. Menteri bodoh..aku teringat mcm Latipah Koya dulu pun perangai berlagak mcm ni…rempuh Jab Pendaftran dan maki hamun kakitangan kerajaan…mcm samseng..penjawat awam sila jangan bagi undi anda kpd kerajaan yg ada menteri kangkung mcm ni..shame!

  3. Kerajaan ANWAR IBRAHIM bukan gagal BUKAN KERAJAAN GAGAL tetapi Kerajaan Anwar adalah KERAJAAN MEROSAKKAN. Atau lebih tepat KERAJAAN YANG GAGAL DAN MEROSAKKAN NEGARA.

Comments are closed.