Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Bilangan 4 Tahun 20023 di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 04 JULAI 2023.

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa sentiasa menggunakan sentimen provokasi sebagai taktik apabila mempromosi negara berbilang bangsa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, tindakan seperti itu dilihat sengaja dibuat oleh bekas perdana menteri itu untuk kekal relevan.

“Saya mengenali Dr Mahathir, beliau memang gemar mewujudkan isu provokasi dan saya tidak berniat untuk membalas taktik provokasi itu.

“Beliau sudah memikirkannya (untuk membuat dakwaan itu) dan beliau menggunakan taktik ini untuk membangkitkan provokasi kepada pihak lain.

“Ini dibuat kerana beliau mahu sentiasa peka dalam keadaan umurnya itu…beliau patut meneruskan kehidupannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), di sini hari ini.

Beliau ditanya media sama ada Dr Mahathir sengaja mencipta kenyataan bersifat provokasi bagi mencuri sentimen susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Semalam, Dr Mahathir mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa menurut manifesto DAP khususnya menjadikan Tanah Melayu negara pelbagai kaum dan agama rasmi Islam diganti dengan negara sekular iaitu tidak ada agama rasmi semata-mata mahukan sokongan. – MalaysiaGazette