L Manickam
L Manickam

SEREMBAN – Keputusan MIC tidak bertanding dalam enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang menyebabkan parti itu dianggap tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang yang disandangnya sejak 1995.

Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk L. Manickam yang menyandang kerusi tersebut enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai perkara itu.

“Sila rujuk presiden parti,” katanya ringkas melalui mesej WhatsApp kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran berkata, Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC dalam mesyuarat pada 30 Jun lalu memutuskan parti itu tidak bertanding pada PRN Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Sebelum ini, MIC dijangka hanya bertanding satu kerusi iaitu DUN Jeram Padang sahaja memandangkan pengagihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dibuat berdasarkan parti yang menyandang.

Manickam memenangi kerusi DUN Jeram Padang yang dianggap sebagai kubu kuat MIC pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan PRU14.

Ahli-ahli Dewan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang sebelum beliau ialah Datuk M Sundram (PRU9), Datuk T Rajagopalu (PRU10), L Krishnan (PRU11) dan Datuk VS Mogan (PRU12). – MalaysiaGazette