KUALA LUMPUR – Tindakan mana-mana pihak cuba mempersoalkan dan mencabar status sekolah vernakular dianggap sebagai mencabar Perlembagaan Persekutuan dan mencabar semangat pemimpin-pemimpin terdahulu dalam mencapai kemerdekaan.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, tindakan itu juga mengabaikan kepelbagaian kaum, bahasa dan budaya yang selari dengan sifat Malaysia yang majmuk.
“Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996 menjamin hak rakyat untuk mendapat pendidikan dalam bahasa ibunda mereka sendiri dan turut memberi kuasa kepada kerajaan dan Kementerian Pendidikan untuk menubuhkan dan mengekalkan sekolah untuk semua kaum.
“Hak-hak ini jelas termaktub dalam Perkara 152 (1) (a ) dan (b) Perlembagaan, Seksyen 28 Akta Pendidikan dan peruntukan perundangan yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, MCA akan terus mempertahankan hak pendidikan semua kaum bagi melanjutkan pelajaran dalam bahasa ibunda mereka.
Sin Woon memberitahu, kewujudan sekolah untuk semua kaum termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil merupakan hak semua kaum untuk belajar dan menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
“Setiap ibu bapa di negara ini juga berhak untuk memilih dan menghantar anak-anak mereka ke mana-mana sekolah termasuk SJK Cina serta Tamil.
“Ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Akta Pendidikan 1996 dan ia tidak boleh dipersoalkan atau dicabar.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, MCA tidak akan berdiam diri jika ada pihak yang berulang kali melakukan tindakan berniat jahat sehingga menggugat ketenteraman berhubung isu membabitkan kepentingan kaum Cina di negara ini. – MalaysiaGazette