Fisol menunjukkan barang rampasan di IPK Kedah hari ini.

ALOR SETAR – Polis Kedah menumpaskan sindiket penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa dari China dan Taiwan selepas menahan 54 individu di sebuah premis di kawasan Perusahaan Mergong, di sini, pada Isnin lalu.

Bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dengan kerjasama BSJK Kota Setar, Kuala Muda dan Langkawi melakukan serbuan ke atas premis yang dijadikan calling centre pada jam 6 petang.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, hasil serbuan membawa kepada tangkapan 54 individu berusia 20 hingga 50 tahun.

Jelas beliau, mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki tempatan, dua lelaki Bangladesh, 20 warga Taiwan termasuk seorang wanita dan 29 lelaki warga China.

Antara barang yang dirampas.

“Hasil siasatan lanjut mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak empat bulan lalu dan modus operandi mereka menyasarkan mangsa dari China dan Taiwan.

“Mereka akan menelefon mangsa dengan menyamar sebagai pegawai dari agensi penguatkuasa seperti polis, pegawai bank dan kastam sebelum memaklumkan bahawa akaun bank mangsa sedang disiasat serta wang mereka akan hilang atau dibekukan.

“Sindiket akan memperdayakan mangsa untuk melakukan pemindahan wang ke akaun yang diberikan mereka bagi mengelakkan wang mangsa dibekukan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 70 buah telefon bimbit, beberapa unit komputer, kertas skrip, kertas mengandungi tulisan Cina iaitu nombor arahan bank negara China, dua buah kenderaan serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan tersebut.

Tambah Fisol, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959 atas kesalahan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Mengulas lanjut Fisol berkata, pihaknya kini sedang mengesan dua saksi tempatan yang merupakan pemilik premis serta pemilik syarikat kenderaan bagi membantu siasatan.

“Masing-masing mereka ialah Ooi Wooi Kean, 34, dan Law Thiam Hee, 47 tahun.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Bibi Jan Ali@Ali Haiders di talian 019-5595805 bagi membantu siasatan,” jelas beliau. – MalaysiaGazette