KUALA LUMPUR – Co-opbank Pertama (CBP) mengumumkan pembayaran dividen berjumlah RM60.91 juta kepada pemegang-pemegang syer bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berbanding RM58.94 juta tahun sebelumnya.
Dalam kenyataan hari ini, CBP berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah meluluskan pembayaran dividen bagi syer biasa dan syer keutamaan (iRCPS) bagi tahun kewangan berakhir 2022 .
Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohamad Anuar berkata, peningkatan
jumlah bayaran ini akan memberi manfaat kepada 91,133 anggota CBP yang layak.
Jumlah syer keseluruhan CBP adalah RM985.43 juta setakat 31 Disember 2022.
Kadar dividen bersih bagi tahun 2022 adalah sebanyak 6.88% bagi syer iRCPS dan 6.30% bagi syer biasa dan ini juga adalah setanding dengan jumlah dividen yang dibayar oleh dana pelaburan lain di Malaysia.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, CBP merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM103.43 juta iaitu peningkatan sebanyak 20% dari tahun2021 yang berjumlah RM86.14 juta.
Menurutnya, prestasi baik ini didorong oleh pelaksanaan strategi perniagaan yang berkesan oleh Pengurusan CBP.
Pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2022 ini merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah penubuhan CBP sejak dari tahun 1950.
Anggota CBP digalakkan untuk membuat pengeluaran dividen secara atas talian melalui laman web e-Semakan CBP bermula 7 Julai 2023 dan penyata dividen boleh
disemak mulai 11 Julai 2023 di https://dividen.cbp.com.my. – MalaysiaGazette